Datuk Fakharuddin Ariff (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Nenasi, Pekan.

KUANTAN – Seramai 74 keluarga nelayan antara diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama masyarakat Nenasi di Masjid Nenasi, Pekan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakharuddin Ariff berkata, program mendekati masyarakat  itu mendapat kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP), RTM Pahang dan Kerajaan Pahang bagi mengeratkan ukhwah.

Pelbagai aktiviti telah diaturkan sepanjang program bagi meningkatkan silaturahim di kalangan penduduk seperti kenduri rakyat, memasak bubur lambuk, memasak laksa Gebok pada Ahad.

“Selain itu sumbangan makanan untuk penduduk, sumbangan anak pokok Nanas percuma, ceramah agama, vaksinasi, pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya juga diadakan.

“Majlis itu turut disertai sekumpulan pelajar dari Maahad Tahfiz Azzahra, Maahad Tahfiz Al-Hamadi dan Maahad Tahfiz Insani di sekitar Pekan.

Dalam majlis itu, UMP juga menyumbang alat solar mobile untuk kegunaan Masjid Nenasi jika berlaku gangguan elektrik.

Jelas Fakharuddin sumbangan itu sangat bermakna kerana bagi memudahkan kariah masjidmenyempurnakan urusan di tanah perkuburan pada waktu malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar itu juga menyampaikan sumbangan cek peruntukkan Kerajaan Negeri dan wang tunai kepada lapan  orang penerima untuk tujuan baik pulih rumah, Tabika Kemas, rawatan perubatan dan bantuan pendidikan anak-anak. – MalaysiaGazette