Noh Omar

KUALA TERENGGANU – Pengagihan bayaran Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) kepada kira-kira 16,000 usahawan informal dan mikro di seluruh negara yang terjejas akibat banjir, akan selesai sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, buat masa ini terdapat kira-kira 1,300 usahawan yang masih belum menerima bantuan RM3, 000 secara ‘one-off’ itu dan pembayaran akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Geran bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta ini diuruskan oleh TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Ia diberikan secara one-off dan tidak perlu dibayar balik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Geran BBKM kepada usahawan informal dan mikro di Terengganu, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 962 usahawan dari seluruh negeri menerima geran tersebut yang diberikan dalam bentuk cek.

Sementara itu, Noh berkata beliau akan bertemu dengan pihak Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) esok (Rabu), bagi mendapatkan penjelasan mengenai kelewatan pemberian pinjaman Bantuan Dana Kecemasan PKS 2.0 kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas banjir.

Katanya, pihaknya dimaklumkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM100,000 dengan moratorium setahun itu, telah diluluskan untuk lebih 200 pemohon namun sehingga kini pembayaran masih belum dilakukan.

Noh juga menzahirkan kekesalan ekoran syarat yang ditetapkan dalam perjanjian pinjaman tersebut agak rumit dan menyukarkan pemohon.

“Yang saya lihat agak perlahan sedikit adalah pinjaman kepada IKS ini. SME Corp yang meluluskan tetapi yang akan buat pembayaran adalah MIDF.

“Pinjaman ini adalah (dikategorikan) kecemasan untuk usahawan yang dilanda banjir tetapi saya lihat peraturan yang dikeluarkan, terutama oleh MIDF, adalah syarat normal yang mengikut prosedur biasa bukan kecemasan,” katanya.

Menurutnya sebelum ini pihaknya sudah berbincang dengan SME Corp dan MIDF dan mereka telah berjanji untuk menyelesaikan perkara itu dalam tempoh dua minggu, namun setelah tiga minggu pembayaran masih belum dibuat.

“Saya juga tidak boleh salahkan mereka kerana mereka ini memberi pinjaman tetapi saya minta mereka tolong permudahkan urusan rakyat,” katanya, yang turut menyeru persatuan-persatuan IKS supaya membantu ahli mereka yang terjejas banjir memohon Bantuan Dana Kecemasan PKS 2.0 itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast