Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa satu siasatan segera dibuat oleh pihak berkuasa mengenai isu rusuhan tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari depo tahanan sementara di Relau, Bandar Baharu, Kedah awal pagi tadi.

Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu perlu diteliti bagi mengenal pasti punca rusuhan yang mengorbankan enam daripada 528 etnik Rohingya meninggal dunia dalam insiden berkenaan.

“Kami mengesa supaya penilaian terhadap keadaan pusat depo tahanan dilakukan untuk memastikan kondisi memenuhi standard yang sepatutnya.

“Kejadian yang melibatkan kematian termasuk wanita dan kanak akibat kemalangan seperti yang dilapur amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, sejumlah 528 etnik Rohingya merusuh sebelum melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau.

Sehingga kini, 362 individu telah berjaya dikesan dan usaha menjejaki baki tahanan sedang giat dijalankan polis Kedah dengan kerjasama Kontinjen Pulau Pinang.

Dalam pada itu, MAPIM turut menggesa agar isu kepadatan di pusat tahanan dikaji semula oleh pihak berkuasa.

“Keadaan yang menjejaskan tahanan kerana tidak cukup penjagaan kesihatan, ruang yang sempit dan padat, kemudahan untuk kanak-kanak dan wanita, perlu dinilai,” kata Mohd. Azmi lagi.

Dalam insiden itu, enam etnik Rohingya maut digilis treler dalam kejadian rusuhan yang berlaku awal pagi tadi.

Difahamkan terdapat 663 warga asing ditempatkan di pusat tahanan sementara itu, dengan majoriti daripada etnik Rohingya. – MalaysiaGazette