Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Meskipun pasaran modal Malaysia telah bersedia untuk meraih manfaat daripada unjuran pemulihan ekonomi domestik, adalah penting bagi pihak berkepentingan  menyelaraskan fokus dan menilai kesan untuk menggunakan pendekatan dan inisiatif berbeza yang paling sesuai untuk keperluan pasaran, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Pasaran Modal Islam) Sharifatul Hanizah Said Ali berkata dalam berbuat demikian, SC telah menghasilkan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3), pelan strategik lima tahun untuk pertumbuhan pasaran modal Malaysia.

Beliau berkata, inisiatif strategik dalam tempoh lima tahun akan datang akan dipandu oleh pembangunan utama dan keutamaan kawal selia.

“Teras strategik ini menumpukan pada memangkin pertumbuhan berdaya saing, memperkasakan pelabur untuk masa depan yang lebih baik dan membentuk ekonomi pihak berkepentingan, sambil menerapkan akauntabiliti bersama, mengutamakan kecekapan dan hasil, serta menerima teknologi,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di e-Persidangan Majlis Perancang Kewangan Malaysia yang kesembilan hari ini.

Sharifatul Hanizah berkata, SC berhasrat untuk memudahkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong pemerkasaan pelabur selain meningkatkan celik kewangan sejajar dengan CMP3.

Beliau menambah, pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan 3.0 peratus kepada RM3.5 trilion pada 2021 daripada RM3.4 trilion pada 2020.

“Walaupun berhadapan pelbagai cabaran yang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu, pasaran modal terus memainkan peranan penting dalam membiayai ekonomi dengan peningkatan ketara dalam aktiviti pengumpulan dana dan menggalakkan pertumbuhan keseluruhan industri pengurusan dana,” katanya.

Jumlah dana yang diperoleh dalam pasaran modal kekal kukuh, meningkat kepada RM130.9 bilion pada 2021 — melebihi purata lima tahun prapandemik sebanyak RM121.4 bilion.

Sharifatul Hanizah berkata, adalah penting untuk meningkatkan tahap standard profesional dan mengendalikan keperluan untuk meningkatkan profesionalisme dalam industri perancangan kewangan.

Beliau menambah, SC mengeluarkan garis panduan Conduct for Capital Market Intermediaries pada 1 April, yang juga terpakai kepada perancang kewangan berlesen untuk memupuk tingkah laku perniagaan  dan budaya korporat yang baik bertumpukan kepada layanan adil terhadap pelanggan dan untuk menggalakkan kepercayaan kepada semua pengantara.

Sharifatul Hanizah berkata, walaupun peraturan boleh memainkan peranan mempromosikan budaya yang betul, industri juga mesti terus membentuk tingkah laku yang betul dalam organisasi mereka sendiri.

“Untuk tujuan ini, adalah baik untuk melihat penyelarasan dan peningkatan kod etika dan piawaian amalan terbaik industri oleh persatuan pensijilan yang berkaitan,” tambahnya. – MalaysiaGazette