Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) menyampaikan replika cek berjumlah RM500,000.00 kepada Nur Mohd Razali Abdullah, Pengurus Besar YIDE (kanan) sambil disaksikan Ahmad Shahir Makhtar, dalam Majlis Sumbangan Geran Tahunan Anak Yatim Tahun 2022 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana sumbangan RM500,000.00 setiap tahun bagi membantu kebajikan 8,100 anak-anak yatim di negeri ini.

Dana sumbangan diberikan menerusi peruntukkan Baitulmal MAIS kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) selaku anak syarikat MAIS yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim sekitar Selangor.

Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, MAIS berharap bantuan yang disumbangkan dapat dimanfaatkan untuk pengurusan rumah anak yatim yang berdaftar di bawah YIDE di samping dapat memelihara kebajikan dan hal ehwal pengurusan anak yatim di Selangor.

Dalam satu majlis di Paya Jaras baru-baru ini, MAIS juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 110 orang anak-anak yatim melalui peruntukan Baitulmal MAIS bagi meringankan beban di samping menambahkan lagi keceriaan anak-anak yatim dalam menjalani ibadah puasa.

Program bertujuan sebagai inisiatif MAIS untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan mengeratkan hubungan silaturrahim di samping berkongsi rezeki dengan komuniti setempat terutama kepada penghuni rumah anak yatim.

Program yang diadakan ini dengan kerjasama Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor.

Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama dari agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), YIDE, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd dan Bakti Suci Holding Sdn Bhd. – MalaysiaGazette