Erywan Pehin

KUALA LUMPUR – Malaysia menerima kunjungan Menteri Luar Negeri Kedua Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof yang dalam lawatan kerja ke negara ini selama tiga hari.

Ketibaan rombongan itu disambut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Kunjungan itu bagi menyusul kerjasama dua hala yang telah dibincangkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei Darussalam pada 14 dan 15 Februari lalu.

“Lawatan kerja Erywan Pehin ini sempena penganjuran Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Brunei Darussalam berkenaan sempadan darat.

“Jawatankuasa Bersama ini merupakan mekanisme penting dalam hubungan istimewa antara kedua-dua negara,” kata kenyataan dari Wisma Putra kepada media, hari ini.

Kata kenyataan itu, pelaksanaan mesyuarat pertama itu mempamerkan komitmen berterusan Malaysia dan Brunei ke arah memuktamadkan persempadanan darat sejak kedua negara menjalinkan kerjasama dalam hal ehwal sempadan darat pada 2012.

Erywan Pehin juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pada 2021, Brunei merupakan rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan RM8.03 bilion, iaitu peningkatan ketara sebanyak 70.4 peratus, berbanding nilai direkodkan pada 2020. – MalaysiaGazette