KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini
mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil media bagi membincangkan pelaksanaan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang dijadual diadakan di Melaka pada 29 Mei ini.

Menurut kenyataan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISMAWI), Perdana Menteri bersetuju untuk merasmikan perhimpunan terbesar wartawan
Malaysia menerusi sambutan HAWANA itu, yang pertama kali diadakan
pada 2018.

Katanya, sambutan HAWANA adalah bagi menghargai golongan wartawan di Malaysia, yang disambut pada setiap 29 Mei, bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

“ISWAMI dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menjadi
penggerak utama pelaksanaan program itu yang turut melibatkan agensi, pertubuhan
dan pengamal media lain,” kata kenyataan itu.

Bersempena penganjuran HAWANA, ISWAMI Malaysia juga akan mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia, untuk turut hadir pada program berkenaan, ujarnya.

ISWAMI juga merancang untuk mengundang 20 editor muda dari pelbagai agensi
media di Indonesia pada program lawatan muhibbah pada Jun 2022 dalam usaha
mengukuhkan lagi kerjasama strategik media Malaysia dan Indonesia selain
mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

Sementara itu, pada pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini, wakil media diketuai Presiden ISWAMI, Datuk Mokhtar Hussain; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin; Penasihat ISWAMI Datuk Zakaria Abdul Wahab; Ketua Pengarang UtusanTV, Datuk Zulkefli Hamzah dan Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast