Lelaki warga Indonedsia ditemui mati dalam keadaan kaki berantai dengan kerusi di Apartmen Eastern Court, Jelutong, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan kaki kirinya dirantai pada sebuah kerusi di Apartmen Eastern Court, Jelutong di sini, semalam.

Warga Indonesia berusia 33 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah pada jam 5.30 petang di tempat parkir kereta selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lapan apartmen terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bilik gerakan menerima daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 5.40 petang sebelum sepasukan polis serta forensik bergegas ke lokasi.

Pihak forensik sedang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa menyewa rumah yang dijadikan inap desa itu bersama seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun sejak 13 April lalu.

Jelas Soffian, hasil pemeriksaan lanjut kuah mendapati mangsa memasuki negara menerusi jalan laut pada 23 Mac lalu.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa serta lelaki tempatan itu datang dari Melaka dan dia membantu mereka menyewa inap desa tersebut termasuk menghantar makanan ke rumah berkenaan sehari dua kali.

“Saksi berkenaan juga sempat bertemu dengan salah seorang daripada mereka pada jam 5 petang sebelum menerima maklumat mengenai kematian mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Soffian, hasil pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat bagi mengesan kecederaan lain pada tubuhnya.

“Selain itu, kita juga masih menjalankan siasatan berhubung kejadian termasuk tujuan dua lelaki tersebut datang ke negeri ini.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat,” kata beliau.

Tambah beliau, pihaknya juga kini giat mengesan lelaki yang menyewa rumah berkenaan bersama mangsa bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette