ASP PDRM policewoman raid operation live TikTok livestream

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat siaran langsung di aplikasi TikTok akaun peribadinya ketika menjalankan operasi tular di media sosial.

Berdasarkan video itu, anggota polis wanita yang didakwa netizen berpangkat Asistan Superintenden Polis (ASP) itu dilihat teruja dengan jumlah kehadiran penonton yang menyertai ‘live’ beliau sehingga berjaya meraih 1,900 tontonan secara langsung.

Tindakan bersahaja beliau itu menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet sama ada anggota badan beruniform itu sememangnya dibenarkan untuk berbuat demikian sewaktu operasi atau sebaliknya.

Meskipun tidak menyiarkan visual di sekeliling ketika operasi dijalankan, kandungan ‘live’ itu turut disertai beberapa anggota polis yang lain.

Ketika siaran langsung terbabit, berdasarkan latar belakangnya, anggota berkenaan dipercayai sedang dalam satu operasi di sebuah premis seperti sebuah pusat hiburan sekitar jam 4 pagi.

Beliau sempat memaklumkan kepada penonton siaran langsung itu bahawa pasukannya sedang menjalankan proses ujian saringan air kencing ketika operasi dijalankan.

Selain itu, anggota polis berkenaan turut mengambil peluang mengwar-warkan akaun TikTok beliau dalam usaha meraih 100,000 followers.

Untuk rekod, sebelum ini, pada Disember 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pernah menyarankan kepada pegawai dan anggota PDRM untuk tidak bermain aplikasi media sosial, Tik Tok ketika sedang bertugas kerana ia tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan.-MalaysiaGazette