Friday, April 26, 2024
Home Sukan Malaysia tuan rumah Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022

Malaysia tuan rumah Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022

Sebahagian aksi peserta remaja semasa kelas seni mempertahankan diri Muay Thai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Latihan Sampuri Muay Thai Ampang, Selangor. Foto 16 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia terus diiktiraf dalam bidang sukan apabila bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022 selepas berjaya memenangi bidaan bagi penganjuran yang dijangka berlangsung November ini.

Berita gembira tersebut dikongsi Naib Presiden Global Association Of International Sports (GAISF), Stephan Fox.

Menurut Fox, lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Ismail Sabri Yaacob ke Thailand pada bulan Februari lalu untuk bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-cha membuahkan hasil apabila Malaysia dipilih menjadi tuan rumah.

Beliau berkata, Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia 2022 itu akan membawa lebih 10,000 delegasi antarabangsa ke Malaysia dan turut disiarkan di saluran kabel AXN melalui slot rancangan The Challenger.

Katanya, kejayaan itu juga pastinya memberikan impak positif kepada ekonomi negara kerana kini industri seni bela diri dianggarkan bernilai lebih USD10 bilion dengan populariti program program seperti UFC dan One FC.

Stephan Fox.

“Dengan kejayaan ini dianggarkan Malaysia akan mendapat impak ekonomi dari segi pendapatan perbelanjaan pelancongan serta pulangan publisiti dan media dengan penganjuran program antarabangsa ini.

“Saya telah melawat Malaysia beberapa kali sejak 2014 dan sepanjang saya berada di Kuala Lumpur serta di Sabah dan Sarawak, Malaysia mempunyai fasiliti bertaraf dunia dan saya yakin sekiranya diberi peluang Malaysia akan mampu menganjurkan program mega seperti World Expo,” ujarnya dalam sidang media secara talian, baru-baru ini.

Menurut data GAISF, benua Asia kini menjadi tumpuan acara sukan dunia bermula tahun ini dengan Piala Dunia di Qatar, Sukan Sea di Vietnam dan Sukan Asia di Hangzhou serta beberapa siri sukan permotoran antarabangsa

Bagi tahun 2023 pula menyaksikan Arab Saudi akan menganjurkan World Combat Games 2023, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula bakal tuan rumah Kejohanan Muay Thai Dunia manakala Thailand akan menganjurkan Asian Indoor and Martial Art Games. – MalaysiaGazette