Wang Wan Ling bersama suami serta peguamnya keluar dari kamar mahkamah sebaik selesai membayar denda di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pemilik kedai peralatan komunikasi didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menjual peralatan komunikasi tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Orang kena saman (OKS), Wang Wan Ling, 52, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus sebelum dia dikenakan hukuman denda RM8,000.

Mengikut pertuduhan, Wan Ling didakwa memiliki sembilan wireless AV sender jenama Pakite model PAT225 dan tujuh wireless AV sender jenama Pakite PAT 535 tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Newfroggy Store, No. 2, Jalan Perai Jaya 2, Bandar Perai Jaya, Perai di sini pada 10 September 2021 jam 3.09 petang.

Sementara itu, di kamar berasingan, Hakim Noor Aini Yusof menjatuhi hukuman denda RM10,000 selepas Wan Ling didapati bersalah menjual satu RCA Wireless AV sender jenama Pakite model PAT535 tidak diperakui kepada pegawai operasi ketika operasi penyamaran.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama jam 11 pagi pada 9 Mac 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 16 (3) Peraturan-Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamad Fadzil, manakala tertuduh diwakili peguam Low She Warne.

Tertuduh membayar wang denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast