Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – Kehadiran UMNO dalam Taklimat Hak dan Bayaran Tunai Petroleum dan Gas Negeri Kelantan adalah bukti keseriusan parti itu untuk menyokong segala yang melibatkan kepentingan rakyat Kelantan tanpa ada rasa curiga.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, rakyat negeri itu tentunya akan menilai sejauh mana kecekapan urus tadbir kerajaan negeri dalam mengurus hasil royalti petroleum.

“Di sini menyaksikan, royalti yang diperolehi itu akan digunakan untuk menyelesaikan masalah keperluan rakyat secara berhemah ataupun digunakan untuk kepentingan politik semata-mata.

“Justeru, Pemuda UMNO Kelantan turut menyokong penuh mesej jelas yang disampaikan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan bahawa hak rakyat tetap hak rakyat.

“Sekiranya benar ia mengikut aturan perjanjian dan lunas perundangan, royalti ini seharusnya perlu diserahkan kepada negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, perjuangan Pemuda UMNO negeri itu akan dikemukakan secara serius kepada kerajaan pusat sekiranya UMNO-Barisan Nasional (BN) diberi mandat memerintah Kelantan.

Ini, kata Noor Hariri, bagi membolehkan UMNO-BN merealisasikan hasrat rakyat Kelantan.

“Janji kami ini bukan retorik atau modal politik bermusim seperti sesetengah pihak, tetapi apa yang kami kata, kami kota.

“Kami juga yakin dengan kehendak politik yang kuat daripada satu parti besar UMNO ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Kelantan apabila pentadbiran pusat selari dengan negeri.

“Bak kata pepatah Inggeris, “There’s a Will, There’s a Way”, katanya. – MalaysiaGazette