ALLAHUAKHBAR, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Walillahilham
Selamat menyambut Hari Raya Adilfitri 1443H Maaf Zahir Batin buat seluruh umat Islam Malaysia.
Menginsafi untuk diri saya dan seluruh umat Melayu Islam sempena Adilfitri setelah berjaya berpuasa selama 30 hari kerana kewajipan salah satu daripada rukun Islam yang pasti memberi pengajaran keinsafan kepada kita semua umat melayu Islam Malaysia.
Maka, marilah sama sama kita menaruh kebimbangan apa akan terjadi kepada masa depan bangsa Melayu setidak-tidaknya 20 tahun daripada sekarang akan bermain dalam minda dan cemas dalam hati setiap umat Melayu yang mempunyai kesedaran dan keinsafan.
Sejak penjajahan British sehinggalah ke hari ini mentaliti, pemikiran dan emosi orang Melayu yang boleh dianggap sebagai tipikal Melayu yang mudah “terikut” telunjuk mereka yang berkuasa terutamanya bangsa asing.
Awal penjajahan Inggeris terlalu mudah mereka yang berkuasa ketika itu memberi ruang dan bersekongkol dengan kuasa asing bergaduh sesama sendiri berebut kuasa.
Melayu sukar “bersatu” dan berpecah belah bukan hanya laungan mutakhir ini, bahkan sejak dulu lagi. Ini adalah antara punca kenapa Inggeris menyelinap masuk campur tangan.
Gologan elit dan bangsawan terjamin kedudukan mereka biarpun rakyat kebanyakan hidup biasa dan ada yang sengsara. Amalan perundangan lebih menjadi sasaran golongan ini.
Senario dulu dengan sekarang tidak banyak berbeza. Golongan elit politik dan bangsawan hidup mereka bermewah dan bermegah.
Jika dulu disebut rakyat kebanyakan, sekarang ini disesuaikan istilah B40 mengikut peredaran masa. Golongan B40 merupakan majoriti yang tergolong dalam miskin luar bandar dan miskin bandar.
Mereka ini juga golongan majoriti pengundi. Mereka juga merupakan sasaran elit politik yang menggunakan “sumber kebendaan” dalam pelbagai bentuk seperti subsidi, bantuan, derma yang berselindung di sebalik syarak, undang-undang dan moral untuk menghalalkan cara.
Golongan ini dianggap mudah dimanipulasi. Sama juga amalan mereka dalam pemilihan parti. Hanya yang “berduit” dipilih menjadi pemimpin selaras dengan pegangan mereka “cash is king”.
Terdapat juga mereka daripada B40 yang menjadi ahli politik teknokrat, birokrat dan usahawan bertukar menjadi kaya raya, tetapi mereka juga terikut lupa asal usul. Mereka melonjak kepada T20 termasuk dalam golongan elit politik dan bangsawan disebabkan kekayaan mereka.
Rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dikenali “parasit tiga serangkai” adalah budaya baru dalam kehidupan untuk mencari kemewahan. Mereka sanggup gadai maruah bangsa, menjual agama dan pengkhianat negara kerana mengejar kedudukan dan kekayaan.
Kini satu dunia mengenali bangsa Melayu yang berkuasa terpalit amalan parasit tiga serangkai. Amalan ini boleh dikenalpasti serendah tahap berkuasa sehinggalah yang tertinggi.
Baru 65 tahun merdeka, Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum lain terutamanya kuasa ekonomi, pemilikan hartanah, industri dan perniagaan, bidang profesional dan perkhidmatan.
Lebih menyedihkan GLC yang ditubuhkan menjadi “alat” untuk kepentingan “kuasa politik” menyimpang daripada matlamat asal untuk membantu bumiputra. Agensi seperti UDA, MARA, Tabung Haji, FGV, Pertronas dan lain-lain lagi. Berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa serta bersekongkol dengan “kroni-kroni taikun” dan proksi yang mengambil faedah.
Tanah rezab Melayu yang hanya tinggal 12 peratus banyak tergadai kepada bukan Melayu atas alasan pembangunan.
Sumber kekayaan yang dikurniakan Allah SWT kepada Malaysia termasuk hasil bumi tidak diuruskan secara “amanah dan tanggungjawab”.
Elit politik dan birokrat yang berkuasa seolah-seolah berlumba membina kekayaan bersama kroni dan proksi. Agak pelik juga dengan bangsa Melayu Islam pemimpin dan tokoh yang nyata “menyelewang dan hipokrit” yang melakukan kemungkaran menjadi sanjungan dan pujaan. Bebas “menjual” muka dan maruah “menegak benang basah” seolah pakaian malu sudah ditelanjangkan. “Ada Aku kesah”.
Bukan kaum lain yang menyebabkan Melayu akan merempat di negara sendiri, tangan-tangan Melayu yang berkuasa hilang jati diri mengkhianati bangsa sendiri. Terdapat golongan elit dan pertengahan Melayu yang hidup selesa, “ada aku kesah” itu bukan urusan aku, itu urusan pemimpin yang berkuasa.
Jangan nanti ketika menyambut kemerdekaan yang ke 100 bukan lagi YDPA Ketua Negara, tetapi “Presiden Republik Malaysia” bukan lagi bangsa Melayu, tetapi kaum lain. Melayu ketika itu tetap menjadi bangsa pengemis di negara sendiri seperti rakyat Palestin sekarang.
Tulisan ini bukan provokasi, tetapi sama-sama kita fikirkan untuk menjadikan bangsa bermaruah dan mengekalkan kuasa sebagai penduduk asal negara ini. Kita seharusnya belajar daripada sejarah hidup dalam penjajahan kuasa asing satu ketika dulu. Mahukah kita dijajah semula menjadi hamba bangsa asing di negara sendiri. “Buka minda tanya hati”.
Maka, apa patut umat Melayu lakukan jika tidak mahu jadi seperti Melayu Singapura atau umat Palestin atau menjadi pelarian setelah bumi sendiri dipijak orang. Di depan mata Temasik menjadi Singapura sudah menjadi milik orang. Jangan tunggu air mata berdarah kerana tidak berguna lagi.
Senjata bagi umat Melayu Islam ialah kembali mengukuhkan semangat silaturahim, berpegang kepada ajaran amal makruf nahi mungkar dan dengan tegas menolak pemimpin yang munafik, rasuah, salah guna kuasa dan pilihlah pemimpin yang bersih, bermoral, bukan soal tua muda serta utamakan bangsa sendiri dahulu, jangan kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan serta nyahkan parti yang menang sorak kampung tergadai dan Islam terus ternoda oleh parti yang menguna Islam sebagai alat cari makan melalui politik.
Bumi Melayu yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali Malaysia telah menyebabkan kehakisan Ketuanan Melayu akibat perbuatan pemimpin Melayu yang tidak bertanggungjawab, tamak dan rendah akhlaknya.
Jangan 20 tahun lagi azan tidak kedengaran, takbir raya menjadi sunyi, bilamana bumi sudah dipijak atau menjadi milik orang, walaupun Melayu tidak hilang di dunia. Umat Palestin tidak hilang dan masih ada, cuma sudah hilang negara.
Ingatlah dan hayatilah pesanan Presiden Putra yang kerdil ini, tapi konsisten mempertahankan agenda Melayu Islam walaupun tidak didendangkan selama 40 tahun menempuh onak dan duri.
Maaf Zahir dan Batin
Dato Ibrahim Ali (Tok Him)
Presiden Parti Putra
Politikus Pak Pandir ambillah ikhtibar yang majority undi expats timah dan getah menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris menduduki Singapore dan Penang termasuk tanah rizab Melayu tinggal 12% berbanding tanah Palestine tinggal 30% setelah diduduki expats Yahudi. Tiba masanya ikut contoh negara kecil Qatar, UAE, dan Kuwait kutip cukai tinggi daripada majority expats demi memperkayakan pribumi mereka.