Pelanggan beratur menunggu giliran di kedai gunting rambut di Relau di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Hampir semua kedai gunting rambut sekitar pulau penuh ‘diserbu’ orang ramai sebagai persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan MalaysiaGazette di 15 kedai gunting rambut sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya mendapati ramai pelanggan beratur menunggu giliran.

Selain itu, rata-rata pemilik kedai gunting mendakwa pelanggan tidak putus mendapatkan perkhidmatan walaupun waktu operasi perniagaan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam berbanding pukul 8 malam hari biasa.

Bagaimanapun, situasi berbeza bagi salun rambut yang mana mereka mereka hanya menerima pelanggan yang sudah membuat janji temu bagi mengelak pelanggan menunggu lama.

Orang ramai menyerbu kedai gunting rambut sebagai persiapan hari raya Aidilfitri.

Seorang pelanggan, Ahmed Najib Haja Mydin, 47, berkata, dia terpaksa melewatkan waktu perjalanan pulang ke kampung susulan ‘terperangkap’ di kedai gunting rambut.

“Malam tadi saya sudah datang tetapi ramai pelanggan membuatkan saya mengambil keputusan untuk datang esok pagi.

“Bagaimanapun, hari ini pukul 12 tengah hari saya sudah pacak di sini namun tetap ramai pelanggan sedang menunggu giliran mereka.

“Sepatutnya saya janji nak gerak balik kampung di Kedah bersama keluarga pukul 1 tengah hari namun saya terpaksa lewatkan perjalanan kerana giliran untuk menggunting rambut memakan masa lebih dua jam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Mazlita Abdul Malik berkata, dia dan anak saudaranya terpaksa menunggu lebih tiga jam di kedai gunting rambut di Sungai Dua di sini hari ini.

“Saya menetap dalam daerah Barat Daya namun kedai gunting di kawasan tersebut penuh menyebabkan saya datang ke daerah Timur Laut untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut buat anak saudara yang berusia enam tahun.

“Kedai ketujuh yang saya singgah baru ada slot kosong tetapi kami perlu menunggu tiga jam untuk menggunting rambut.

“Saya tunggu juga walaupun agak lama kerana takut raya diumum esok,” katanya. – MalaysiaGazette