Dr. Jeffrey G. Kitingan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan digesa menunjukkan sikap ‘hormat’ terhadap Sabah sebagai rakan sekutu dalam pembentukan Malaysia dengan memastikan kedaulatan negeri itu terjaga dari pencerobohan tentera China di perairan dan ruang udara.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, ancaman demi ancaman terhadap Negeri Bawah Bayu itu yang terus di cerobohi tanpa sebarang tindak balas pihak berkuasa ketika ini.

“Permintaan ini juga sebagai tanda menghormati Sabah selaku rakan sekutu dalam Malaysia seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah terdedah secara langsung dengan konflik pertindihan tuntutan terhadap kepulauan dan kawasan terumbu karang di Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan berkaitan konflik tuntutan wilayah di Laut China Selatan dari masa ke semasa.

“Ancaman terhadap kedaulatan perairan Sabah amat membimbangkan kerana negeri ini berada di barisan hadapan di kawasan pertindihan tuntutan berkenaan. Kita perlukan tindakan lebih serius kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan,” ujarnya.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau itu berkata, pencerobohan aset ketenteraan China di Laut China Selatan bukan sesuatu yang baharu kerana ia sudah berlaku sejak 2013.

“Tahun lalu sahaja, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebanyak 23 kes pencerobohan di Zon Ekonomi Eksklusif Negara (EEZ). Apa lagi kita tunggu?

“Ingat ya, ancaman terhadap kedaulatan perairan negara turut menjejaskan ekonomi Malaysia,” ujarnya.

Sejak, Agensi Penguatkuasaan Maritim China menceroboh Kawasari, kerja-kerja pembangunan minyak dan gas di Sarawak oleh Petronas telah terjejas.

Ancaman pencerobohan oleh 300 kapal maritim China yang melakukan rondaan di Laut China Selatan menjejaskan aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan tradisi di Sabah.- MalaysiaGazette