Pemain pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia Bawah 23 tahun Luqman Hakim Shamsudin ketika bercakap pada media mengenai persiapan pasukan bola sepak ke Sukan SEA di Kompleks Sukan PKNS, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 MEI 2022

PETALING JAYA – Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin sasar pingat emas dalam sukan bola sepak Sukan SEA 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mei ini di Hanoi, Vietnam.

Luqman berkata, latihan yang telah diberikan oleh Ketua Jurulatih skuad b-23, Brad Maloney mencukupi dan mampu menyumbang pingat emas untuk Malaysia.

Beliau turut menganggap ini satu-satunya peluang untuk membuktikan kebolehan beliau dan rakan sepasukannya merangkul tangga pertama dalam sukan SEA itu.

Katanya, walaupun tersingkir dari Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) ketika menentang Laos di Kemboja Februari lalu, beliau yakin kesilapan tersebut tidak akan berulang di sukan SEA kali ini.

“Kita akan menang lawan Laos, tak ada kalah, tak ada seri, InsyaAllah”

“90 minit atas padang tu kita akan all out, berikan 100 peratus” katanya yakin tentang skuad kebangsaan B-23 menentang Laos.

Namun begitu, beliau berpesan kepada pasukannya untuk tidak mengambil mudah dan leka dalam perlawanan menentang Kemboja dan Singapura.

“Kita belum main lagi, kita tak tahu kebolehannya”

“Tapi jangan fikir takut lah, fikir menang je.. dengan doa rakyat Malaysia, kita minta yang positif sahaja” ujarnya yakin. – MalaysiaGazette.