NEW DELHI – Seorang anggota polis yang melarikan diri selepas beliau didakwa merogol seorang remaja berusia 13 tahun di hadapan ibu saudaranya di Uttar Pradesh, utara India ditahan pasukan keselamatan itu hari ini.
Pegawai polis, Tilakdhari Saroj dikatakan merogol remaja itu ketika dia hadir untuk membuat laporan beliau menjadi mangsa rogol berkumpulan pada 22 April lepas.
Bagaimanapun, Tilakdhari membawa remaja itu ke sebuah bilik lalu merogolnya walaupun terdapat lebih 20 anggota polis berada dalam balai polis itu namun tidak ada sesiapa melarang perbuatan itu, lapor Daily Mirror.
Kini anggota polis terbabit digantung tugas dan insiden itu mencetus kemarahan rakyat.
Ketua Polis Daerah Lalitpur, Nikhil Pathak berkata, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membawa mangsa ke pejabat NGO itu dan mendedahkan kejadian menimpa remaja tersebut.
“Pegawai itu sudah digantung kerja dan dia seorang penjenayah dikenali, jadi kami menubuhkan pasukan khas untuk menahannya. Setelah mendapat tahu insiden itu, saya mengarahkan kertas siasatan dibuka,” katanya kepada media tempatan.
Tilakdhari didakwa di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup sekiranya disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette
(https://www.mirror.co.uk/news/world-news/police-officer-accused-raping-girl-26879800.amp)