Gambar hiasan.

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, hampir 15 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan pandemik Covid-19 pada akhir tahun 2021.

Menurut anggaran WHO, jumlah kematian akibat Covid-19 adalah kira-kira 14.9 juta antara 1 Januari 2020 dan 31 Disember 2021.

Angka ini dikira sebagai perbezaan antara jumlah kematian yang telah berlaku dan jumlah yang dijangkakan jika tiada wabak itu berdasarkan data dari tahun-tahun sebelumnya.

Selain daripada kematian yang disebabkan secara langsung oleh Covid-19, “kematian tidak langsung” adalah disebabkan oleh keadaan kesihatan lain, yang mana orang ramai tidak dapat mengakses pencegahan dan rawatan kerana sistem kesihatan terlalu terbeban oleh wabak itu.

WHO berkata, kebanyakan kematian – 84 peratus tertumpu di Asia Tenggara, Eropah dan Amerika dan kira-kira 68 peratus di hanya 10 negara di seluruh dunia.

Negara berpendapatan sederhana menyumbang 81 peratus daripada 14.9 juta lebihan kematian, manakala negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah masing-masing menyumbang 15 dan 4 peratus.

Angka kematian global adalah lebih tinggi bagi lelaki (57 peratus) berbanding wanita (43 peratus) dan lebih tinggi dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia.

“Data ini membimbangkan bukan sahaja menunjukkan kesan pandemik tetapi juga keperluan untuk semua negara melabur dalam sistem kesihatan lebih berdaya tahan, yang boleh mengekalkan perkhidmatan kesihatan penting semasa krisis, termasuk sistem maklumat kesihatan yang lebih kukuh,” Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata dalam satu kenyataan. – Xinhua