Mayat adik Amirun Mohamad, 14 tahun ditemui oleh pasukan penyelamat pada 6.10 petang tadi selepas pencarian diluaskan kepada empat kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan lemas

KUANTAN – Mayat remaja lelaki dipercayai lemas selepas hanyut ketika mandi-manda bersama abang dan dua sepupunya di Pasir Puteri Sungai Lembing, Kuantan semalam ditemui pihak penyelamat jam 6.10 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa dijumpai pada hari kedua pencariannya di kawasan Lubuk Cina, kira-kira 4 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Wan Mohd Zahari Wan Busu Kuantan asnaf orphanage strangled to death
Wan Mohd Zahari Wan Busu

Jelas Wan Mohd Zahari, usaha mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan bot penyelamat di sepanjang kawasan kejadian turut melibatkan enam anggota PDRM, enam pegawai dan 12 anggota bomba termasuk 15 orang awam pada hari pertama.

Operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua termasuk menggunakan teknik ‘surface searching’ dengan bantuan anjing K9 dalam percarian sekitar 4 kilometer dari lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan bagi mengesan remaja hilang yang dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di Pasir Puteri, Sg Lembing petang semalam

“Pada hari kedua SAR juga dibantu oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Penghulu mukim serta JKKK setempat dan Jabatan Unit Amal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras

Awak-awak bot nelayan disyaki lemas di Sungai Kuantan

Mayat lelaki Pakistan lemas timbul di empangan

Mangsa, Amirun Mohamad, 14, beralamat di Jabor, Terengganu dipercayai dihanyutkan arus deras pada 2.15 petang semalam ketika berkelah bersama keluarga.

Bgaimanapun abang mangsa dan dua sepupunya berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di kawasan tapak perkelahan tersebut.

Tambah Wan Mohd Zahari keluarga mangsa telah dimaklumkan sejurus penemuan mangsa dan jenazah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette