Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) optimistik dapat memenuhi permintaan global yang semakin meningkat ketika Indonesia menghentikan eksport minyak sawit walaupun isu kekurangan pekerja masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamarudin memberi jaminan kepada pemain industri bahawa usaha untuk memenuhi permintaan tenaga kerja asing terutamanya untuk sektor perladangan.

Pada September tahun lalu, kerajaan telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan mereka telah mula tiba sejak awal tahun ini.

”Malaysia kini menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba pada bulan Mei dan Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah sawit,” katanya yang yakin Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan global minyak sawit.

Dalam kenyataan di sini, Zuraida meminta pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak sawit di Malaysia harus berganding bahu bagi merebut peluang yang wujud ini.

Jelasnya, walaupun Malaysia bersimpati dengan situasi yang telah menjejaskan industri minyak sawit Indonesia, namun ini adalah satu kesempatan yang perlu digunakan oleh industri minyak sawit Malaysia.

”Memandangkan terdapat kekaburan tentang jangka masa larangan ini akan berkuatkuasa, industri minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.

“India mengimport antara 13.0 dan 13.5 juta tan metrik minyak masak dengan import minyak sawitnya merangkumi antara 8.0 juta dan 8.5 juta tan metrik (63%) merupakan konsumer terbesar minyak sawit Indonesia, dengan hampir 45% daripada kuantiti ini datang dari negara jiran kita manakala selebihnya diperoleh dari Malaysia.

“Jadi, larangan eksport ini juga secara tidak langsung mengetatkan lagi pasaran global minyak masak akibat konflik antara Rusia dan Ukraine dan isu pemanasan global. Harga sawit, kacang soya, minyak rapeseed Eropah dan minyak kanola kini juga berada pada paras tertinggi dalam sejarah,” ujarnya.

Menurut Zuraida, memandangkan harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, kementeriannya yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi ini dijangka berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar larangannya sebaik sahaja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi stabil.

Ini kerana, penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport.

Selain itu, kementerian juga ingin mengingatkan pemain industri sawit negara bahawa terdapat kemungkinan perubahan harga mendadak akan berlaku memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran bermusim sekarang.

Tambahan pula dengan prospek Korea Selatan yang merupakan salah satu pasaran minyak sawit yang paling pesat berkembang, melepaskan stok simpanannya.

“Jika konflik antara Rusia dan Ukraine selesai, terdapat prospek kedua-dua negara ini melepaskan stok minyak rapeseed dan bunga matahari. Mengambil kira risiko-risiko tersebut, industri sawit negara perlu segera mengambil kesempatan daripada keadaan semasa dan bukannya membiarkan peluang tersebut berlalu,” tambahnya.

Zuraida berkata, kementerian itu mengunjurkan pengeluaran dan eksport minyak sawit akan meningkat sebanyak 30% menjelang akhir 2022.

Kementerian berkeyakinan tahap pengeluaran akan meningkat walaupun pengeluaran minyak sawit berada pada paras yang rendah disebabkan kekurangan pekerja asing pada kemuncak pandemik sejak dua tahun yang lalu berikutan pembukaan semula sempadan negara dan Pelan Pemulihan Negara pasca Covid-19.

Justeru, kementerian yakin tahap pengeluaran akan meningkat dan Malaysia berada di landasan yang betul serta mampu memenuhi permintaan minyak sawit dunia, katanya. – MalaysiaGazette