Iqbal memeluk anak angkatnya Ahmad Ziyad. Foto tersebut dikongsi Iqbal di media sosialnya.

KUALA LUMPUR – Usahawan kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli tidak mahu anak angkat beliau yang berusia hampir sebulan supaya mengikut jejak langkahnya yang pernah membaling duit.

Malah dalam satu perkongsian di media sosial, Iqbal turut menyatakan mahu menghantar anak angkat lelakinya yang dinamakan sebagai Ahmad Ziyad itu ke kelas vokal.

Ini supaya Ahmad Ziyad tidak berdepan situasi memalukan seperti yang pernah dilalui oleh Iqbal selepas menyertai satu pertandingan nyanyian.

“Anakku Ziyad, besar nanti jangan baling duit macam ayah ya. Cepat-cepat besar ayah nak hantar kelas vokal supaya tak malu atas pentas nanti. Jadilah kuat sebebal ayah.

“Ingat pesan ayah, jangan sesekali Google nama Ahmad Iqbal Zulkefli selagi ayah masih hidup,” katanya dalam satu hantaran.

Iqbal mengambil Ahmad Ziyad sebagai anak angkat ketika bayi itu berusia tujuh hari awal bulan lalu.

Beliau sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas membaling dan memijak duit ketika diwawancara oleh media tahun lalu.

Dalam wawancara itu dia turut mendedahkan aset bernilai jutaan ringgit yang dimiliki bagi membuktikan dia bukan kaki kikis selepas terdapat gosip bahawa dia mahu berkahwin dengan seorang lagi usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida.

Ketika menyertai pertandingan yang disiarkan secara langsung nyanyian Iqbal dikritik oleh masyarakat kerana sumbang.

Malah juri pertandingan tersebut menyifatkan Iqbal tidak mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

Sementara itu Iqbal berkata, selepas mengambil Ahmad Ziyad sebagai anak angkat baru dia memahami sukarnya memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah.

“Baru saya tahu tidak senang menjadi seorang ayah. Dua jam sekali Ziyad akan menangis terjaga untuk minum susu. Selepas habis menyusu terus tukar lampin.

“Paling mencabar ketika mandikan bayi yang baru lahir. Saya bersyukur Ziyad langsung tiada ragam dan selalu senyum,” katanya.

Ahmad Ziyad dilahirkan pada 23 April lalu bersamaan 22 Ramadan pada pukul 10.41 malam dengan berat 2.95 kilogram.-MalaysiaGazette