Suasana sekitar pasar borong selepas harga barang sayur yang mengalami peningkatan pada Ramadan mula turun bermula minggu ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Harga sayur yang didakwa meningkat sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini kini kembali turun kepada harga asal.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Jalan Raja Bot Chow Kit di sini mendapati, kebanyakan peniaga mendakwa kenaikan itu mungkin berpunca akibat kekurangan stok daripada pembekal.

Amad Jaduli.Foto MUHD NA’IM, 11 MEI 2022.

Peniaga, Amad Jaduli, 73, tidak menafikan harga pada pertengahan Ramadan lepas lebih tinggi dengan tambahan sekitar RM3 daripada kebiasaan sebelum ini.

“Pada pertengahan Ramadan menjelang Syawal memang harga agak tinggi tapi sekarang harga sudah turun dalam RM2 ke RM3. Harga sebelum ini mungkin naik sebab ikut stok dari pengedar iaitu dari pembekal di pasar borong sebab mereka yang naikkan harga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Amad, sayur seperti bunga kubis kini dijual RM7 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini.

Siti Zuraidah Abu Bakar. Foto MUHD NA’IM, 11 MEI 2022.

Peniaga sayur, Siti Zuraidah Abu Bakar, 68, pula memberitahu, ramai pembekal menaikkan harga kerana terdapat sayur-sayuran yang sukar diperoleh kerana stok yang terhad.

“Harga naik sikit sebab stok terhad, harga naik pun sebab banyak pembekal dapatkan sayur dari orang kampung. Pucuk paku, pucuk ubi, daun kesum dan sayur-sayur kampung susah nak dapat sebab orang kampung tengah sibuk persiapan raya,” ujarnya.

Pembeli sayur, Azhar Ibrahim. Foto MUHD NA’IM, 11 MEI 2022.

Mengulas lanjut, seorang pembeli, Azhar Ibrahim, 56, tidak menafikan kenaikan harga sayur sebelum ini satu bebanan kepada rakyat dan berharap pihak kerajaan dapat menanganinya dengan segera.

“Saya harap kerajaan kawal harga dengan baik, dengan gaji tiada kenaikan tapi harga barang naik, saya rasa ini sungguh membebankan untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast