Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ramai pelajar yang menghadiri kelas fizikal sejak Mac lalu tidak boleh mengikuti pelajaran.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Wang Heng Suan berkata, ramai murid masih memerlukan masa untuk beralih daripada pembelajaran dalam talian kepada kelas fizikal dan mengejar perkembangan pelajaran.

Katanya, keadaan itu adalah paling ketara dalam kalangan murid yang mempunyai kekangan dari segi kemudahan teknologi dalam pembelajaran sehingga mereka ketinggalan semasa pendidikan dalam talian diadakan.

“Ada juga pelajar yang tidak dapat fokus dan nampak termenung sahaja apabila berada di dalam kelas.

“Dengan pemulihan kelas fizikal, cikgu kini boleh melakukan pemantauan dan memastikan pelajar memberi perhatian,” katanya kepada China Press.

Menurut Heng Suan, sekolah telah memasuki fasa terakhir pelan mengejar atau “catch up plan” dan cikgu akan menilai tahap murid sebelum mengagihkan mereka ke dalam kumpulan serta membantu mereka mengikuti pelajaran.

“Murid masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan keadaannya dijangka bertambah baik pada tahun hadapan,” katanya.

Kata Heng Suan, kadar kehadiran murid ke sekolah adalah sekitar 96 hingga 97 peratus dan kadar kehadiran di sekolah menengah adalah lebih tinggi berbanding sekolah rendah.

“Walau bagaimanapun, sesetengah murid masih takut bergaul dengan orang lain dan mereka tinggal di kelas pada waktu rehat walaupun kantin sudah dibuka,” katanya. – MalaysiaGazette