ANKARA – Bandar Munich di Jerman akan menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan kejohanan bola sepak Eropah 2024 (EURO 2024), dan perlawanan akhir bakal berlangsung di Berlin.
“Jawatankuasa Eksekutif UEFA telah meluluskan jadual perlawanan untuk UEFA EURO 2024, yang akan berlangsung di sepuluh bandar di Jerman dari 14 Jun hingga 14 Julai 2024,” lapor Agensi Anadolu memetik badan induk bola sepak Eropah, UEFA, dalam satu kenyataan pada Selasa.
“Perlawanan pembukaan akan berlangsung di Arena Bola Sepak Munich, dan perlawanan akhir akan diadakan di Olympiastadion Berlin.”
Negara tuan rumah Jerman layak secara automatik ke EURO 2024 dan akan bermain dalam Kumpulan A.
Jerman akan bermain perlawanan pembukaan di Arena Bola Sepak Munich pada 14 Jun 2024. Arena Bola Sepak Munich – milik Bayern Munich – dipanggil Arena Allianz atas sebab penajaan.
Jerman sebelum ini menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2006, yang menyaksikan Itali muncul juara. – Bernama