Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi. - Foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO tidak menolak kemungkinan jika idea Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disatukan mampu menjadi satu bentuk kerangka dasar negara.

“Saya fikir tidak akan timbul lagi di masa hadapan soal titik bengik, soal cabang serta ranting yang menghantui pemikiran rakyat.

“Pada prinsipnya, perbahasan yang memberi empat segmen itu dilihat sebagai suatu proses kematangan politik,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya Debat Perdana antara Najib dan Anwar di sini malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, perbahasan sepentas dua tokoh politik tanahair secara terbuka mampu menjawab pelbagai persoalan yang timbul dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, wacana intelektual itu seharusnya diadakan lebih kerap agar dapat beri kefahaman kepada rakyat dan bukan merungkai sesuatu permasalahan kumpulan tertentu sahaja.

“Kita bukan hanya mahu merungkaikan permasalahan satu-satu kumpulan tetapi yang lebih penting supaya rakyat dapat diberikan kefahaman biar pun tafsiran dan pandangan itu berbeza,” ujarnya.

Terdahulu Anwar yang juga Presiden PKR sepentas dengan Najib yang juga bekas Perdana Menteri keenam dalam program Debat Perdana yang julung kali diadakan malam ini yang mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara.

Gelanggang debat antara Ketua Pembangkang dan bekas Presiden UMNO itu berlangsung di Auditorium MATIC.

Dalam pada itu, kedua-dua tokoh negarawan itu tidak asing buat Ahmad Zahid kerana mereka merupakan sahabat lama dalam UMNO sebelum ini.

“Mereka merupakan dua orang sahabat lama tetapi berada di pentas yang berbeza sekarang. Kedua-duanya mempunyai perkongsian idealisme, soal yang timbul ialah bagaimana menginterpritasi dan melaksanakannya,” katanya.- MalaysiaGazette