Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir pada Program Debat Perdana di MaTiC, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Budaya debat antara pemimpin kerajaan dan pembangkang perlu dijadikan sebagai diskusi intelek dan budaya politik di negara ini, kata Datuk Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, debat tidak seharusnya dijadikan platform mencari salah mana-mana pihak dan mahupun mengejar populariti.

“Kita ingin mendapatkan fakta, data dan maklumat supaya kerajaan dan pihak yang berkaitan boleh menjadikannya sebagai asas untuk membuat sesuatu keputusan.

“Jika nak menyelesaikan masalahnya ada beberapa perkara, melalui cara mesyuarat, kedua cara perundingan dengan peringkat dua hala pelbagai hala.

“Debat ini kita ingin memutuskan yang mana perkara benar patut dilakukan,” katanya kepada MalaysiaGazette di bangunan Matic, di sini, hari ini.

Debat Perdana yang julung kali diadakan antara dua tokoh politik tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak malam ini dijangka mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara.

Gelanggang debat antara Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang dan bekas Perdana Menteri itu dijadualkan berlangsung di Auditorium MATIC, jam 9 malam.

Dalam pada itu, debat seperti ini juga perlu dibuat secara bersiri dan tidak terhad kepada dua tokoh negawaran itu dan sewajarnya diteruskan di peringkat golongan muda dan profesional.

“Mungkin ia perlu dibuat siri kedua Debat Perdana 2.0 antara pihak Pemuda, Debat Perdana 3.0 antara pihak teknokrat.

“Ia boleh membantu kerajaan daripada data-data mereka ungkapkan hasil penyelidikan kedua-dua debat itu boleh dijadikan satu asas untuk buat satu-satu keputusan,” katanya.

Katanya lagi, debat juga perlu diteruskan jika ia menguntungkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau hanya mendapat populariti pemimpin yang terlibat, baik tak payah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast