RAUB – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan anakanda Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Aidilfitri bersama warga kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, hari ini.

YDPA yang tiba di Dewan Titiwangsa diiringi tetamu jemputan pada jam 2.45 petang sempat menyantuni pelajar dengan berswafoto dan beramah mesra dengan tetamu yang dihadiri kira-kira 3,500 orang termasuk para pemimpin daerah Raub.

Antara yang hadir Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman; Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor serta Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional bertemakan lagu raya oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Gali serta iringan muzik dari kombo Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Sementara itu, penuntut semester 4 Diploma Pentadbiran Awam Muhammad Aiman Ali berkata, kehadiran YDPA memberi peluang kepada penuntut untuk belajar menguruskan majlis protokol berskala besar.

“Sangat berbangga, kerana cawangan Raub terpilih menjadi pilihan dan memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat menbantu mengendalikan majlis pada hari ini.

Manakala Muhammad Nur Ilyas Abdul Najib, 21, berkata, beliau berbesar hati apabila kampus UiTM itu dihadiri oleh orang ramai dan pemimpin tempatan. – MalaysiaGazette