Dr. Siti Hamisah Tapsir

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Professor Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir mengetuai Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan.

Pasukan tersebut yang ditubuhkan hari ini serta dianggotai oleh lapan pakar itu antara lain akan menganalisa maklumat dan hasil siasatan insiden kematian Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang mengumumkan penubuhan pasukan itu berkata,  kementerian turut menerima laporan dan aduan berkaitan kejadian buli selain masalah tekanan mental yang dihadapi oleh PPS dan kakitangan perkhidmatan kesihatan.

“Justeru mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan oleh KKM kepada negara dan pembangunan modal insan, skop dan terma Pasukan Petugas Khas ini akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu perkhidmatan yang berkualiti serta professional.

“Pasukan Petugas Khas ini adalah sebuah badan bebas yang keanggotaannya dinilai dan ditentukan oleh saya selaku Menteri Kesihatan,” kata Khairy dalam satu kenyataan.

Pasukan itu mempunyai enam fokus termasuk membuat analisa dan penilaian budaya kerja, pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan dan PPS.

Ia merangkumi aspek masa dan beban kerja, saluran aduan, kepimpinan, bimbingan dan latihan, penilaian prestasi, penyampaian perkhidmatan, danserta peluang kerjaya.

Mereka juga akan menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan kesihatan dan PPS.

Laporan itu akan dibentangkan kepada Menteri Kesihatan dalam tempoh dua bulan dari tarikh penubuhan.

“Saya ingin tekankan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia amat komited dalam usahanya untuk memperbaiki suasana kerja kakitangan perkhidmatan kesihatan secara amnya dan menghapuskan budaya kerja toksik di fasilitifasiliti kesihatan KKM.

“Saya juga akui usaha ini memerlukan sedikit masa untuk membuahkan hasil tetapi ingin saya tegaskan bahawa suasana kerja yang kondusif dan harmoni bermula dengan menghormati, menyokong dan sama-sama membantu rakan sekerja kita.

“Sekarang bukan masanya untuk kita berbalah, bukan masanya untuk menuding jari,” kata Khairy.

Lapan anggota terbabit adalah Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara Datuk Hamidah Naziadin; Pakar Pediatrik Prof. Dr Zabidi A. M. Hussin; Peguam Mohamed Ridza Mohamed Abdullah.

Pakar Perunding Psikiatri Prof. Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin; Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare Dr Chong Su-Lin; Peguambela Pesakit Antarabangsa Manvir Victor, pakar reka bentuk organisasi Sivaramakrishnan Balasubramanian dan seorang wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam.-MalaysiaGazette