KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang peguam kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM100,000 yang kononnya bagi menutup kes yang sedang disiasat suruhanjaya itu.
Sumber memberitahu, lelaki warga tempatan berusia 50-an itu ditahan SPRM di sebuah pusat membeli belah di ibu negara kira-kira jam 4 petang hari ini.
Sumber berkata, sebelum ini peguam berkenaan didakwa meminta wang suapan berjumlah RM4 juta daripada seorang pemilik syarikat sebagai dorongan supaya SPRM tidak menyiasat projek pembangunan yang dilakitkan dengan syarikat tersebut.
“Pemilik syarikat itu bagaimanapun membayar RM100,000 terlebih dahulu sebagai pendahuluan,” kata sumber tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan peguam tersebut ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok untuk mendapatkan perintah permohonan reman untuk menjalankan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette