Pemimpin UMNO dan BN masih boleh bergembira, tetapi bagaimana nasib parti itu pada masa akan datang.

KUALA LUMPUR – Persetujuan sebulat suara yang ditunjukkan oleh 2,586 perwakilan UMNO daripada 192 bahagian terhadap usul pindaan perlembagaan parti jelas menunjukkan perpaduan yang baik dalam UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberikan persetujuan terhadap pindaan yang membolehkan pemilihan parti dilanjutkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Noh, keputusan yang dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini juga jelas menunjukkan, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan juga menerima sokongan di semua peringkat.

“Alhamdullilah di bulan Syawal yang mulia ini kita lihat dalam perhimpunan khas tadi satu perpaduan telah dapat diwujudkan apabila usul pindaan perlembagaan diterima 100 peratus.

“Lebih menarik apabila YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Naib Presiden telah menyokong usul tersebut. Menunjukkan perpaduan dalam UMNO ini begitu baik sekali.

“Menunjukkan apa juga keputusan yang telah dibuat oleh parti mendapat sokongan daripada semua lapisan pemimpin,” kata Noh yang ditemui selepas PAU Khas selesai.

Dengan kelulusan rasmi itu, MKT UMNO akan diberi dua pilihan di bawah fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan tersebut akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lepas bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan sehingga enam bulan selepas PRU15 bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya itu. – MalaysiaGazette