Sebahagian perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Usul meminda Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dijangka diluluskan dengan mudah pada Persidangan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, sebelum ini memaklumkan, ia berikutan usul yang dicadangkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada PAU bulan lalu disokong sebulat suara oleh perwakilan yang hadir.

Sabtu lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan akan membentangkan usul pindaan perlembagaan berhubung pemilihan parti akan diadakan selepas PRU berlangsung.

Pembentangan usul itu dilaporkan akan diadakan di hadapan 2,666 perwakilan pada PAU Khas hari ini.

Sebelum itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO , Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 17 Mac lalu mencadangkan supaya perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.

Beliau dilaporkan berkata, pemilihan parti seharusnya diadakan hanya selepas setiap kali PRU bagi mengelak sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.

PAU Khas bermula pukul 1.30 tengahari hingga 3.30 petang sebelum diikuti Sambutan ulang tahun penubuhan UMNO dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. – MalaysiaGazette