KUALA LUMPUR – Seramai lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan ketika cuba menyusup masuk ke Sabah melalui perairan Tawau di Kampung Titiangan dengan sebuah bot laju.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Tugas Bersama 2 Pangkalan Operasi Hadapan (POH) berkata, Tim Quick Reaction Force (QRF) dibawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2) berjaya mematahkan cubaan berkenaan selepas membuat intipan sekitar pukul 4.15 petang semalam.

“Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa berusia antara 22 hingga 40 tahun, seorang wanita dewasa berusia 39 tahun dan seorang bayi perempuan berusia dua tahun serta tiada penemuan barang-barang terlarang,” kata kenyataan hari ini.

Semua PATI mengaku berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah untuk bekerja dan turut terlibat, sebuah kenderaan jenis teksi yang membawa kesemua PATI tersebut keluar dari kawasan pendaratan.

Kesemua PATI yang ditahan didapati mempunyai dokumen pengenalan diri Indonesia dan permit kerja tanpa cop pengesahan masuk ke Sabah.

Semua PATI dibawa ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membuat laporan polis sekitar jam 7.00 petang, semalam.

Kata kenyataan itu lagi, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.- MalaysiaGazette