Kilang YLPG

KUALA LUMPUR – Yew Lee Pacific Group Berhad (YLPG), pengeluar berus industri serta perdagangan alat ganti jentera dan perkakasan industri dijangka meraih RM37.27 juta hasil dari tawaran awam permulaan (IPO) yang diancarkan hari ini.

YLPG yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad akan menerbitkan IPO melibatkan 133.10 juta saham baharu yang akan diterbitkan pada harga RM0.28 sen sesaham dan tawaran penjualan 26.62 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Pengarah Urusan YLPG, Ang Lee Leong berkata, pelancaran prospektus ini merupakan pencapaian penting bagi YLPG yang bekerja keras sejak tahun 2004.

”IPO ini untuk mengumpul dana untuk rancangan pertumbuhan dan meningkatkan profil kami dalam industri dan mengekalkan pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai pemegang saham jangka panjang, kami mempunyai rancangan untuk mengembangkan kapasiti pembuatan dan meningkatkan automasi,” katanya selepas pelancaran IPO YLPG di sini hari ini.

YLPG menghasilkan berus industri dan teknikal untuk pelbagai industri pembuatan termasuk sarung tangan, industri, elektrik dan elektronik, pembekal pembersihan industri dan komersial serta pengeluar kaca dan kayu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, 76.8 peratus daripada jumlah hasil kumpulan diperoleh daripada operasi di Malaysia manakala baki 23.2 peratus daripada pasaran luar negara, terutamanya di Thailand, Vietnam, Indonesia dan Taiwan masing-masing mewakili kira-kira tujuh peratus, 5.8 peratus, 3.3 peratus dan 5.8 peratus.

Menurut Lee Leong, sebanyak RM10.90 juta hasil yang diraih daripada IPO itu akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan, RM7.30 juta untuk pembinaan kemudahan gudang dan bangunan pejabat, RM1.80 juta untuk pengubahsuaian bangunan pejabat, RM8.90 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM4.57 juta untuk modal kerja dan RM3.80 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

Daripada 26.62 juta saham baharu yang disediakan kepada pelabur tempatan, sebanyak 15.97 juta saham diperuntukkan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak, 23.96 juta saham kepada pelabur terpilih dan 66.55 juta saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

M&A Securities adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO YLPG manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd ialah penasihat kewangan. – MalaysiaGazette