Guru, Mohd Rizal Saari menyusun meja serta kerusi sebagai persedian pembukaan semula sesi persekolahan Isnin ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2021.

SABAN istimewa buat semua warga guru. Bukannya mengejar dan mengharapkan pengiktirafan serta sanjungan melambung, namun sambutan Hari Guru biasanya dilaksanakan dengan penuh simbolik bagi menghargai jasa dan pengorbanan
pendidik yang setia membangun jiwa memacu kecemerlangan modal insan. Pada tahun ini ianya disambut untuk edisi yang ke 51. Pada tarikh yang sama iaitu pada tahun 1956, mengikut sejarah Malaysia melalui Laporan Razak, ianya telah menjadi
Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

Guru Tunjang Sekolah Sejahtera telah dipilih sebagai tema hari guru pada tahun 2022 seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi
membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Murid-murid yang ada pada hari ini merupakan generasi pewaris masa hadapan negara.

Oleh hal demikian, adalah penting untuk guru menanam dalam jiwa muridnya akan kecintaan dan dahaga kepada ilmu. Kecintaan mereka kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan. Justeru,
tema ini seharusnya dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut iimu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari. Antara objektif Hari Guru adalah seperti memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru, menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan, pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat, serta meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.

Selain itu, ia adalah untuk menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia serta memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya. Pada tahun ini, Sekolahku Sejahtera telah diperkenalkan sebagai konsep baharu dalam pelaksanakan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ia bertepatan dalam menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, iaitu guru sebagai agen penting dalam merealisasi konsep Sekolahku Sejahtera.

Tujuan konsep ini adalah ke arah pembentukan budaya amalan baik di sekolah oleh guru dan murid. Selain itu, Sekolahku Sejahtera ini adalah bagi memberikan penekanan terhadap nilai murni menerusi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah. Konsep ini tidak akan membebankan guru serta murid kerana konsep ini akan diterapkan secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran menerusi penerapan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi.

Selain itu, konsep ini juga bertujuan untuk mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat. Ini juga akan membolehkan para murid akan meneroka pelbagai cabang ilmu, idea dan penemuan baharu yang sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif dalam penyelesaian masalah. Tugas utama bagi seseorang guru adalah untuk mengajar dan mendidik. Namun kini, di zaman yang teknologi yang serba canggih menjadikan tugas seorang guru semakin mencabar. Dengan pelajar yang bermacam ragam menjadikan tugas guru untuk mendidik anak bangsa untuk mencapai kejayaan penuh dengan cabaran.

Guru kini diasak dengan cabaran yang pelbagai memerlukan mereka terus kekal di dalam arus globalisasi. Konsep langit terbuka banyak mendedahkan pelajar masakini dengan pelbagai perkara samada yang membawa kebaikan ataupun keburukan. Rela atau tidak, guru bertindak sedaya upaya untuk menyeimbangkan keperluan perkembangan minda pelajar agar kekal mengamalkan nilai dan jati diri serta mengamalkan tatasusila mulia adab ketimuran. Dalam berperan menjalankan tugas hakiki iaitu merancang dan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran, pengorbanan masa guru menjalankan aktiviti pengembangan bakat dan potensi pelajar melalui pengendalian kejohanan sukan,syarahan, karnival pendidikan di peringkat sekolah sehinggalah kebangsaan. Semasa di sekolah, guru adalah ibu dan bapa kepada anak-anak. Selain mengajar dan mengendalikan aktiviti, keperihatan seorang guru juga diuji apabila berhadapan dengan sebarang bentuk kecemasan yang memerlukan tindakan pantas.

Pengorbanan tersebut menuntut komitmen masa, kewangan dan tenaga yang tidak ternilai di samping tidak meminggirkan tugas hakiki mereka. Segalanya demi ingin melihat modal insan yang dilahirkan seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sikap
yang positif serta potensi yang mampu melonjak kecemerlangan diri. Dalam pada itu, guru juga berhadapan dengan pelbagai karenah anak murid yang kini tampil dengan pelbagai keadaan. Permasalahan disiplin dan salah laku pelajar seperti buli umpamanya membuatkan guru kini lebih tertekan dan sentiasa menghadapi risiko kecederaan murid. Namun, adakalanya mereka mengeluh akibat pengorbanan yang sering disalah erti oleh pihak-pihak tertentu. Adakalanya juga mereka berdepan dengan risiko prasangka pihak tertentu. Justeru, tema Guru Tunjang Sekolah Sejahtera memberikan semangat baru dengan pengiktirafan jasa guru membangun modal insan ke tahap cemerlang lantas menyumbang kepada negara terbilang.

Kini, peredaran masa membawa perubahan dan cabaran terhadap profesion keguruan termasuk pengubahsuaian fungsi dan peranan guru. Peranan guru sebagai sumber utama pengetahuan kepada pelajar telah bertukar kepada guru sebagai pemudahcara dalam pengajaran dan pembelajaran, agen perubahan dan sumber inspirasi kepada pelajar. Guru harus kreatif dan inovatif untuk menjadikan sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran menjadi efektif, menarik dan menyeronokkan. Dalam usaha untuk memartabatkan profesion keguruan, peningkatan kualiti guru, kerjaya guru dan kebajikan guru haruslah diberikan perhatian. Antaranya adalah melalui penambahbaikan sistem pemilihan guru.

Hal ini boleh dilaksanakan dengan memperketatkan syarat dan kriteria calon serta kursus-kursus yang bersesuaian dengan keperluan opsyen. Ini bagi memastikan setiap guru mencapai standard minimum. Seterusnya adalah melalui pemantapan latihan perguruan serta kerjaya guru. Ia boleh dilaksanakan melalui penawaran program baharu atau penambahbaikan program sedia ada dengan penekanan diberikan kepada elemen baru dalam kurikulum pendidikan guru seperti dalam aspek pedagogi, kokurikulum, ICT, dan penyelidikan. Selain itu, penambahbaikan persekitaran kerja yang kondusif melalui kemudahan tempat tinggal yang mencukupi terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Sebagai tambahan, jawatan kumpulan sokongan boleh diwujudkan bagi mengurangkan beban tugas dan tanggungjawab guru dalam kerja-kerja pentadbiran amnya. Akhir sekali adalah melalui pemantapan perancangan dan pengurusan sumber manusia. Hal ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama bersama IPT bagi menyediakan mekanisma bekalan dan unjuran guru bagi setiap opsyen seterusnya mengelakkan lambakan pengangguran graduan pendidikan. Disamping menuntut kesungguhan dan tanggungjawab guru, pemantapan kebajikan dan kerjaya haruslah diberi penekanan. Skim perkhidmatan guru perlu terus diperbaiki bermula daripada pengambilan, latihan dan penempatan bagi memastikan guru-guru berpeluang menikmati skim yang setara atau lebih baik daripada skim perkhidmatan lain. Pendekatan ini akan meningkatkan persepsi masyarakat
terhadap profesion keguruan dan sekali gus memartabatkan profesion ini.

Justeru, perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap profesion keguruan. Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja. Hanya mereka yang mempunyai kualiti, keterampilan, kewibawaan, kelayakan, minat, iltizam dan berjiwa pendidik layak menjadi guru. Namun, usaha pihak kerajaan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion yang unggul dan disegani ramai tidak akan berjaya sekiranya guru itu sendiri tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya. Bidang pendidikan juga merupakan pelaburan terpenting bagi sesbuah negara, dan gurulah pemankin utama yang menjadi tonggak dalam memastikan segala hasrat kerajaan tercapai. Komitmen dan dedikasi guru membawa perubahan kepada msyarakat seterusnya memacu Negara menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju.

Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast