Dari kiri Rahim Bahrin, Al-Iman Zakaria, Tunku Laxamana Naquiyuddin Tuanku Ja'afar, Tim Windever dan Sean Ferguson

KUALA LUMPUR – AT&T Cybersecurity yang merupakan salah satu cabang syarikat telekomunikasi multinasional Amerika Syarikat (AS), hari ini menjalinkan kerjasama dengan Datakraf Solution Sdn Bhd dalam sektor keselamatan siber untuk rantau ASEAN.

AT&T Cybersecurity yang juga salah satu Managed Security Services Providers (MSSP) terbesar di dunia dalam satu kenyataan berkata, telah melantik Datakraf Solution sebagai rakan niaga serantau.

Katanya, AT&T Cybersecurity menawarkan penyelesaian keselamatan siber seperti AlienVault’s Unified Security Management (USM), OpenXDR, SentinelOne dan Open Threat Exchange (OTX) yang dapat menguruskan operasi keselamatan siber dengan lebih efisien.

Jelasnya, keselamatan siber menjadi semakin penting untuk perniagaan hari ini terutama dengan trend semasa IoT, Big Data dan Cloud Solution.

Malah katanya, landskap ancaman siber menjadi semakin kompleks dan memerlukan sistem pertahanan yang lebih sistematik dan bersepadu.

Datakraf Solution, sebuah syarikat teknologi yang berwawasan tinggi kini mempunyai portfolio pelanggan yang kritikal seperti Petronas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA).

Portfolio itu akan membawa keyakinan kepada prospek masa depan AT&T Cybersecurity di rantau ini.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengerusi Datakraf, Tunku Naqiuddin Almarhum Tuanku Ja’afar berkata, pihaknya percaya kerjasama AT&T Cybersecurity dengan Datakraf di Malaysia akan dapat menaiktaraf keupayaan untuk membantu pelanggan melindungi aset digital.

“Ia juga mampu mengesan ancaman siber, mengurangkan sebarang kesan perniagaan yang berpotensi untuk menghadapi ancaman siber seterusnya memacu kecekapan di dalam operasi keselamatan siber,” tambahnya. – MalaysiaGazette