Seorang bayi menerima vaksin polio di Lilongwe, Malawi. Foto AP

CAPE TOWN – Mozambique mengisytiharkan wabak polio selepas virus itu dikesan pada kanak-kanak yang tinggal di wilayah timur laut Tete, kes pertama virus polio di negara itu dalam hampir tiga dekad, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia merupakan kes import kedua virus polio liar di selatan Afrika tahun ini berikutan wabak di Malawi pada Februari, ditemui pada kanak-kanak yang mula mengalami serangan lumpuh menjelang akhir Mac lalu.

“Pengesanan satu lagi kes polis liar di Afrika sangat membimbangkan… ia menunjukkan betapa bahayanya virus ini dan betapa cepatnya ia boleh merebak,” Matshidiso Moeti, Pengarah Wilayah WHO untuk Afrika dalam satu kenyataan.

Polio menyerang sistem saraf dan boleh menyebabkan lumpuh yang tidak dapat dipulihkan dalam beberapa jam.

Walaupun penyakitt ini tidak boleh diubati, tetapi jangkitan boleh dicegah dengan vaksinasi.

WHO menyokong vaksinasi berskala besar yang mensasarkan berjuta-juta kanak-kanak di seluruh Afrika Selatan untuk menghentikan penyebaran virus di benua itu, yang diisytiharkan bebas polio liar asli pada 2020 selepas menghapuskan semua bentuk virus liar di benua tersebut.

Penjujukan genomik mencadangkan kes yang baharu disahkan itu dikaitkan dengan strain yang mula tersebar di Pakistan pada 2019, sama seperti kes yang dilaporkan di Malawi tahun ini, tambah WHO.

Dalam populasi yang tidak divaksinasi, virus polio boleh muncul semula dan merebak dengan pantas.

Kes polio yang diperoleh daripada vaksin juga boleh berlaku di tempat yang mana imuniti rendah dan sanitasi kurang baik, kerana orang yang divaksinasi boleh mengeluarkan virus, meletakkan mereka yang tidak divaksinasi dalam risiko. – Reuters