Ismail Sabri Yaakob merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah yang dilancarkan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berharap kadar pemberian khas Persekutuan kepada Sabah akan terus dipertingkatkan bagi membolehkan lebih banyak inisiatif berorientasikan rakyat dapat dilaksanakan di negeri ini.

Hajiji berkata beliau percaya pendekatan Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri boleh menjadi formula terbaik dalam menangani isu-isu legasi antara Sabah dan Persekutuan Malaysia.

“Hari ini saya ingin memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa tambahan hasil negeri yang diperoleh melalui kenaikan pemberian khas daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta itu kita kembalikan terus kepada rakyat.

“Wang itu akan digunakan untuk membina 1,500 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah. Rumah Mesra SMJ merupakan inisiatif baharu kerajaan negeri di bawah Hala Tuju SMJ yang berkonsepkan program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah yang dilancarkan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri amat menghargai komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menggerakkan dan menyusul siri rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

“Begitu banyak kemajuan telah mula dicapai, terbaharu persefahaman antara kedua-dua pihak pada 14 April lalu yang telah membawa kepada langkah pertama penyelesaian kajian semula kadar pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata program jelajah AKM adalah contoh terbaik untuk memastikan rakyat memperoleh maklumat, akses dan seterusnya manfaat daripada pelbagai dasar, inisiatif dan program kerajaan.

“Jelajah AKM ini bertepatan dengan strategi kerajaan negeri sebagaimana yang dilaksanakan baru-baru ini melalui Showcase Setahun Halatuju SMJ yang juga berlangsung di SICC,” katanya.

Hajiji turut mencadangkan kerjasama negeri dan Persekutuan untuk menggabungkan program AKM dan Hala Tuju SMJ di peringkat akar umbi di Sabah.

Beliau berkata konsep inisiatif kerjasama itu adalah mini karnival yang akan diadakan di setiap bahagian atau daerah di negeri ini secara berperingkat.

“Program ini penting agar kita dapat menyemarakkan dan merakyatkan kedua-dua agenda kerajaan ini secara seiring dan meluas di peringkat akar umbi,” katanya. – MalaysiaGazette