CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) membidas kenyataan Ahli Parlimen DAP Nge Khoo Ham yang mengkritik ketidakwajaran perkhidmatan awam menetapkan kod pakaian pada orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya mengambil perhatian serius kenyataan dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Beruas itu dan menyifatkan pendapatnya bersifat dangkal dan  tidak bertanggungjawab.

“Sebagai seorang wakil rakyat beliau sewajarnya bersama-sama dengan perkhidmatan awam menasihatkan orang ramai lebih bersopan dalam etika berpakaian bagi menjaga keharmonian semua pihak,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, CUEPACS berpandangan peraturan yang dikeluarkan oleh setiap ketua jabatan dalam aspek etika berpakaian adalah suatu yang wajar dipraktikkan oleh semua pihak yang berurusan dengan mana-mana organisasi tidak kira swasta mahupun jabatan kerajaan.

Menurut Adnan, adalah tidak wajar untuk Khoo Ham memberikan contoh seorang petani yang berseluar pendek, Orang Asli memakai pakaian tradisional atau orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian yang sopan kerana CUEPACS yakin setiap warga Malaysia mengetahui etika dalam kehidupan dan tidak akan sesekali melanggarnya dengan sengaja.

“Contoh ini sebenarnya seolah-olah menghina golongan tersebut dan CUEPACS yakin walaupun seseorang itu miskin, mereka ini tetap kaya dengan budi pekerti dan akhlak.

“Dalam masa yang sama CUEPACS yakin warga penjawat awam bijak untuk menggunakan budi bicara atau melihat kepada keperluan semasa sekiranya pelanggan yang hadir ke premis kerajaan mempunyai kesulitan tertentu untuk mematuhi etika berpakaian,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau ingin menegaskan agar tiada pihak-pihak yang cuba memainkan isu tersebut demi kepentingan idealogi politik masing-masing, sambil menggesa  Khoo Ham mengelak daripada melakukan serangan kepada perkhidmatan awam hanya dengan tujuan atau kepentingan politik yang tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, penjawat awam juga sentiasa menekankan aspek perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai mestilah berada pada tahap yang terbaik.

“Aspek kesopanan ini juga merupakan antara elemen yang dituntut dalam Rukun Negara iaitu “Kesopanan dan Kesusilaan”.

“Maka dalam konteks ini wajib semua pihak mengambil pandangan yang positif terhadap tata etika berpakaian dalam berurusan mana-mana agensi dan jabatan kerajaan.

“Marilah kita bersama-sama mengamalkan semangat keluarga Malaysia yang disarankan oleh kerajaan demi kesejahteraan dan keharmonian kita semua sebagai rakyat Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette