Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap kepada media selepas hadir Majlis Tamat Latihan & Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis UiTM Zon Tengah (Cawangan Shah Alam, perak, Sarawak & Sabah) di Dewan Agong Tunku Canselor (DATC), UiTM, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2022.

SHAH ALAM – Sebanyak 156 kes Macau Scam melibatkan kerugian sebanyak RM19.8 juta direkodkan di Selangor untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, perkara itu membimbangkan dan terdapat beberapa isu yang dapat dikenal pasti dalam mendepani sindiket penipuan dalam talian itu yang giat berlaku di serata negara.

Kata beliau, antaranya undang-undang yang digunapakai pada masa kini telah digubal dan diluluskan 20 tahun dahulu yang mana ia tidak menepati perkembangan semasa, terutama dengan kecanggihan alaf baharu teknologi sistem perbankan dalam talian atau e-banking.

Berikutan itu, beliau berharap Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) dipinda kerana tidak seiring dengan peredaran zaman memandangkan ia tidak meliputi jenayah penipuan dalam talian.

Dalam pada itu, Arjunaidi meminta pihak bank memperkemaskan dan meningkatkan lagi keselamatan dan standard operasi prosedur (SOP) pemindahan wang secara atas talian bagi membendung jenayah itu.

Jelas beliau, dalam sesuatu kes yang terjadi, ianya akan melibatkan lebih daripada akaun untuk memindahkan wang mangsa, dimana transaksi tersebut juga melibatkan penggunaan ‘keldai akaun’.

Katanya tegas, pemilik ‘keldai akaun’ yang didapati bersubahat akan diambil undang-undang dan diheret ke mahkamah atas tuduhan membenarkan akaun digunakan untuk tujuan penipuan.

Sementara itu, Arjunaidi memberitahu, pihaknya akan sentiasa menjalankan kempen kesedaran orang ramai untuk mengekang jenayah tersebut.

Daripada pemantauannya sendiri, semua golongan berdepan risiko menjadi mangsa sindiket itu, termasuk golongan korporat dan pegawai kerajaan.

“Kekurangan kesedaran orang awam sendiri juga merupakan salah satu punca sindiket penipuan dalam talian itu kerap berlaku”

“Kebiasaan scammer akan menimbulkan rasa panik di kalangan mangsa dan kemudian menyebabkan rata-rata mereka terpedaya dengan tipu helah itu” katanya pada Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kali ke-7 2022, di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 544 Pelatih Kor Suksis seluruh Selangor yang melibatkan empat kampus termasuk dari UiTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menamatkan latihan mereka. – MalaysiaGazette