Tan Sri Mohamed Apandi Ali Attorney-General termination Mahathir Mohamad government suit
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan ahli veteran DAP, Lim Kit Siang tidak mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam artikel ‘Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity’.

Sebaliknya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar memutuskan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri mempunyai justifikasi dalam membangkitkan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam artikel tersebut.

Jelas Azimah, kenyataan Kit Siang ada justifikasi memandangkan Najib ketika itu telah dibicarakan dengan kes penyelewengan dana SRC International (SRC) di mahkamah lain.

Hakim turut memerintahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang memohon saman fitnah terhadap bekas Penasihat DAP itu supaya membayar kos sebanyak RM80,000 kepada Kit Siang.

Lim Kit Siang

Mohamed Apandi mendakwa perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak mempunyai moral dan integriti, tidak beretika dan menyalahgunakan kuasanya sebagai AG pada masa itu.

Mohamed Apandi yang memegang jawatan itu dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 menegaskan, bahawa kata-kata fitnah tersebut tidak benar dan ditulis dengan tujuan untuk mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia kerana mahu mendapatkan publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi am sebanyak RM10 juta serta injunksi bagi menghalang Kit Siang dan/atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel berkenaan dan bantuan lain yang sesuai daripada mahkamah – MalaysiaGazette