KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya mengenakan peraturan larangan sementara untuk anak-anak berusia kurang 12 tahun daripada berada di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan ramai bagi mengurangkan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ini kerana, jangkitan HFMD ini boleh berlaku secara mendadak disebabkan pendedahan kanak-kanak dengan persekitaran berbanding tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, pencemaran silang daripada bendalir tubuh seperti air liur, hingus, kahak, najis atau dari kontaminasi dari tangan individu yang tersentuh bendalir tersebut tetapi tidak dicuci bersih memungkinkan peningkatan kes yang mendadak.

Prof. Madya Dr. Malina yang juga pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM berkata, oleh itu ibu bapa atau penjaga yang telah diberi cuti kuarantin perlu amanah dan bertanggungjawab terhadap cuti yang diberikan dan tidak menyalahgunakan cuti seperti pulang ke kampung, bercuti ke tempat peranginan, membeli belah dan sebagainya.

Beliau berkata, sekiranya kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dirawat dengan baik, mereka berisiko mendapat komplikasi sawan dan sebahagian juga mungkin mendapat radang jantung, radang paru-paru atau komplikasi pada otak dan sistem saraf pusat.

“Jika mereka tidak prihatin terutama bersifat ala kadar semasa membersihkan anak-anak selepas ke tandas atau ketika menukar lampin, besar kemungkinan tularan boleh berlaku,” tambahnya.

Jelas beliau, tahap kebersihan kanak-kanak juga bergantung oleh ibu bapa, penjaga dan keluarga masing-masing.

Kebersihan tangan terutama selepas membersihkan anak-anak yang membuang air besar perlu menggunakan air serta sabun dan jangan menggunakan sanitiser dan tisu basah semata-mata kerana tidak memadai untuk membersihkan ruang permukaan yang perlu dibersihkan.

Elakkan sama sekali membawa kanak-kanak ke lokasi yang menjadi tumpuan ramai bagi menghindari mahupun merebakkan jangkitan selain perlu mendapatkan air minuman yang cukup serta Vitamin C untuk menggalakkan sistem imun badan berfungsi secara optimum.

Sementara itu, Pakar di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, FPSK, UPM, Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, ibu bapa serta pihak taska, tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak perlu saling memberi kerjasama untuk mengurangkan kes jangkitan HFMD kanak-kanak.

“Pusat jagaan harian dan guru tadika perlu bertegas sekiranya kanak-kanak mempunyai simptom awal HFMD, minta ibu bapa untuk tidak menghantar anak mereka. Ibu bapa pula diminta agar peka memastikan keadaan kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak sekiranya mempunyai gejala awal.

”Mereka perlu memastikan kediaman mempunyai sistem pengudaraan yang baik, kurang melakukan sentuhan fizikal dengan kanak-kanak dan melakukan sanitasi barangan mainan secara harian,” katanya.

Oleh itu, ibu bapa, penjaga mahupun pihak terbabit menjadi pemegang taruh terpenting dalam usaha membendung penularan jangkitan HFMD dan perlu sentiasa berwaspada.

Kanak-kanak atau individu yang dijangkiti perlu dikuarantin supaya tidak menjangkiti individu
lain dan kebersihan diri perlu dijaga demi mencegah penyakit ini. – MalaysiaGazette