Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah tidak akan berdiam diri berhubung isu tular melibatkan anaknya, Syafi Tee, yang bercium dan berpelukan dengan seorang wanita bukan muhrim.

Mengakui iman tidak dapat dijual beli, Mohd. Ridhuan berkata, insiden yang melibatkan anaknya itu merupakan kelemahan daripada dirinya sendiri.

“Benar sekali iman tidak dapat diwarisi. Tidak dapat dijual beli. Moga semua ini tidak terjadi kepada kalian semua. Ya, saya akui saya ada kelemahan. Saya tidak sempurna.

“Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya, inilah pula diri saya, hamba Allah yang hina dina ini.

“Tetapi saya telah melakukan yang terbaik, untuk (pengetahuan) semua anak saya seramai enam orang. Begitu juga saudara mara saya. Selebihnya saya berserah…Saya pasrah,” katanya.

Tular di media sosial beberapa hari lalu video memperlihatkan seorang pelakon lelaki yang dipercayai anak pendakwah bebas popular sedang bercium hingga mengundang kecaman netizen.

Menerusi video berdurasi 26 saat yang tular dalam TikTok itu, individu berkenaan dilihat sedang mesra berpelukan dengan wanita tidak bertudung selain turut mengucupnya pada bibir.

Menurut Mohd Ridhuan, dia hanya dapat menjawab isu itu hari ini selepas tular beberapa hari lalu kerana sibuk dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.

Tegasnya, apa yang berlaku tidak akan menghalang beliau untuk meneruskan kehidupan.

Tambah Mohd Ridhuan, insiden itu tidak akan menghentikannya untuk terus melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim dalam memerangi perkara mungkar termasuk terhadap anak sendiri.

“Kepada mereka di luar sana, sama ada yang sentiasa bersama saya, menasihati dan memotivasi, dan juga yang memusuhi saya, dua pesanan untuk diri saya dan kalian semua.

“Pertama, kejadian ini tidak akan menjadikan saya berdiam diri. Saya akan terus menegur dan menjalan asas sebagai sebagai Islam, amar makruf nahi mungkar.

“Sesiapa sahaja yang buat mungkar, akan saya tegur meskipun berada dalam keluarga saya sendiri. Teguran saya tidak hanya kepada artis, tetapi semua orang, tidak kira siapa,” katanya.

Tambah Ridhuan, kejadian tersebut juga merupakan satu bentuk ujian ke atas dirinya.

“Ujian datang dan pergi. Semakin kita diuji, kita menjadi semakin kuat, bukan semakin lemah.

“Jangan kerana ujian ini, menjadikan kita kecewa dan alpa akan tanggungjawab kita sebenarnya,” katanya.

Dalam kenyataan yang disiarkan di Facebooknya, pendakwah bebas itu berkata, kesibukan membentang kertas kerja ‘Bahasa Melayu dan Pembinaan Negara”, menyebabkan beliau tidak dapat menjelaskan isu terbabit.

Mohd. Ridhuan bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kerana ramai yang mengambil berat tentang diri dan anaknya dalam isu tersebut.

“Ramai yang sayang saya dan keluarga saya. Kepada yang bersama saya, memberikan nasihat, menegur cara baik, moga Allah merahmatimu.

“Kepada yang bertepuk tangan dan bergembira, terima kasih juga seadanya,” kata Mohd. Ridhuan.

Jelas beliau, Syafi Tee merupakan anak kedua dan meminati bidang seni setelah tamat belajar.

Sebagai bapa, beliau telah menasihati Syafi mengenai dunia seni yang juga telah beliau ceburi semenjak memeluk Islam lebih 30 tahun.

Menurut Mohd. Ridhuan beliau tidak melarang anaknya terlibat dalam bidang seni namun mengingatkan agar pandai membawa diri.

“Orang miskin diuji dengan kemiskinannya. Orang kaya diuji dengan kekayaannya. Orang berilmu diuji dengan ilmunya. Orang bodoh diuji dengan kebodohannya. Orang soleh diuji dengan kesolehannya. Pemimpin diuji dengan kepemimpinannya.

“Pendek kata, tidak ada yang terlepas dari ujian. Sama ada bersedia atau tidak, kita akan diuji. Justeru, bersiap sedialah. Ingat, ujian ini sebenarnya untuk menguji di mana kelemahan kita, agar menjadi kuat.

“Yang lemah dalam urusan harta kadang diuji dengan harta. Yang lemah dalam urusan wanita kadang diuji dengan wanita. Yang lemah dalam urusan kepemimpinan diuji dengan pimpinannya. Masing-masing harus menyedari titik kelemahannya dan berusaha menguatkannya. Sudah tentu, ada yang lulus dan ada yang gagal.

“Saudaraku, pastikan apa yang menimpa kepada diri saya, tidak berlaku kepada saudaraku semua. Saya doakan yang terbaik untuk saudara di luar sana,” kata Mohd. Ridhuan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast