Mohamad Ashraf (tengah) bersama isteri menyampaikan sijil penghargaan kepada pekerjanya pada Majlis Apresiasi MDI Fortune Sdn Bhd di Spice Arena, Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Penetapan gaji minimum RM1,500 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menarik lebih ramai rakyat tempatan mengisi kekosongan jawatan.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MDI Fortune Sdn Bhd, Mohamad Ashraf Mohd Iqbar sebagai majikan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pembersihan di beberapa kilang mega di Pulau Pinang.

Menurut Mohamad Ashraf, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 merupakan anjakan paradigma dalam memanfaatkan pekerja khususnya mereka yang terdiri daripada golongan B40.

Mohamad Ashraf.

Jelas beliau, ia juga salah satu langkah bagi meningkatkan aspek sosioekonomi dan memberi impak luar biasa kepada golongan tersebut.

“Kita tahu selepas pandemik Covid-19 ramai bergelar B40 dan dengan pelaksanaan gaji minimum ini ia menarik rakyat tempatan untuk bekerja walaupun ia membabitkan perkhidmatan pembersihan.

“Bukan saja orang luar malah pekerja saya sendiri teruja dengan kenaikan gaji baharu ini ditambah pula ia dibayar tanpa sebarang pemotongan bagi bayaran lebihan masa kerja (OT).

“Pelaksanaan ini juga secara tidak langsung membuktikan kerajaan berusaha untuk menaik taraf sektor pekerjaan domestik,” katanya ketika ditemui pemberita di Spice Convention Centre di Relau, di sini.

Terdahulu MDI Fortune meraikan kira-kira 600 kakitangannya pada Majlis Apresiasi Pekerja selepas dua tahun majlis itu tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.

Pada majlis itu, pekerja berdedikasi termasuk tidak pernah mengambil cuti sakit diberikan sijil serta wang saguhati sebagai tanda perhargaan.

Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu hanya membabitkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima pekerja ke atas. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan