KUALA LUMPUR – Peniaga kekal positif terhadap prospek perniagaan bagi suku tahun kedua 2022 pada kadar yang perlahan dengan petunjuk keyakinan dicatatkan +3.5 peratus berbanding +7.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Meskipun sempadan antarabangsa Malaysia dibuka semula yang dijangkakan merangsang aktiviti ekonomi, peniaga kekal berhati-hati terhadap prospek mereka di tengah-tengah tekanan inflasi, isu rantaian bekalan dan kekurangan tenaga kerja.

Semua sektor kecuali sektor pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik pada suku tahun kedua 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perdagangan borong & runcit merupakan sektor yang paling optimistik terhadap prospek perniagaan mereka.

Petunjuk keyakinan bagi perdagangan borong & buncit meningkat untuk tiga suku tahun berturut-turut, dengan +15.5 peratus pada suku tahun kedua 2022 daripada +4.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Sentimen yang lebih cerah dalam kedua-dua subsektor perdagangan borong dan subsektor perdagangan runcit
menyumbang kepada peningkatan ini.

Sementara itu, sektor perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan akan bertambah baik pada kadar sederhana
dengan petunjuk keyakinan +5.6 peratus berbanding +11.1 peratus pada suku tahun lepas.

Pada masa yang sama, sektor Industri menjangkakan prestasi perniagaan mereka berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada suku tahun kedua 2022 sebanyak +0.8 peratus.

Subsektor pertanian dan perlombongan khususnya menjangkakan keadaan perniagaan yang tidak menggalakkan pada suku tahun rujukan.

Sebaliknya, petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan mencatatkan negatif lebih baik pada suku tahun kedua 2022 dengan -23.2 peratus berbanding -40.4 peratus pada suku tahun pertama 2022, katanya

Dari segi hasil kasar, 45.2 peratus responden meramalkan hasil kasar mereka meningkat pada suku tahun kedua 2022 manakala 19.0 peratus menjangkakan penurunan yang seterusnya mendorong kepada imbangan bersih +26.2 peratus.

Dalam masa yang sama, 35.8 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka tidak berubah.

Menurut beliau, pada suku tahun yang sama, 72.2 peratus peniaga menjangkakan tenaga kerja mereka kekal sama walaupun imbangan bersih +10.8 peratus dan sejajar dengan itu, 19.3 peratus peniaga berhasrat untuk mengambil lebih ramai tenaga
kerja, manakala 8.5 peratus merancang untuk mengurangkan tenaga kerja mereka pada suku tahun kedua 2022.

Dalam tempoh enam bulan akan datang bagi tempoh April hingga September 2022, peniaga kekal optimistik terhadap prospek perniagaan mereka dengan imbangan bersih +25.0 peratus, meningkat sedikit berbanding +18.9 peratus yang dicatatkan
sebelum ini.

Sentimen yang lebih baik dalam sektor perdagangan borong & runcit, industri dan perkhidmatan menyumbang kepada pandangan positif ini.

Sektor perdagangan borong & runcit menjangkakan prospek perniagaan yang menggalakkan dalam enam bulan akan datang dengan imbangan bersih +50.0 peratus berbanding +27.0 peratus bagi separuh pertama tahun 2022.

Pada masa yang sama, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih +22.1 peratus daripada +17.7 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

Sektor perkhidmatan turut meramalkan situasi perniagaan yang positif dengan imbangan bersih +23.6 peratus, kekal di trajektori positif sebaliknya, sektor pembinaan dijangka kekal dalam trajektori pesimis untuk tempoh April hingga
September 2022 dengan imbangan bersih yang bertambah baik kepada -25.0 peratus berbanding -30.8 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast