Luqman Hakim (tengah). Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin bertekad untuk memperbaiki teknik penyudah bagi membantu Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pada Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun ini.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, beliau tidak mudah mengaku kalah dan akan terus menampilkan aksi terbaiknya pada kejohanan berkenaan serta sedia menerima kritikan atau tohmahan daripada peminat bola sepak negara terhadap aksinya sebelum ini.

“Saya akan cuba memperbaiki dari segi teknikal penyudah yang masih perlu diperkemas lagi kerana saya yakin setiap orang ada kelemahan tersendiri.

“Masih banyak perlu dipelajari bagi menjadi seorang pemain berkualiti. Oleh itu, saya terima segala kritikan daripada peminat bola tempatan untuk terus memperbaiki diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada 23 Mei lepas, Luqman Hakim dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA ke-31 ketika bertemu Indonesia gagal menjaringkan penalti menyaksikan pasukan negara tewas 3-4, sekali gus pulang tanpa sebarang pingat.

“Saya rasa setakat in, pemain dalam keadaan baik kerana jurulatih bagi cuti sehari untuk meluangkan masa dengan keluarga. Itu antara pembakar semangat kami untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih pasukan B-23 kebangsaan, Brad Maloney percaya dengan keupayaan anak buahnya untuk mencipta kejayaan pada kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Jurulatih dari Australia itu berkata, pengalaman mengharungi enam perlawanan di temasya Sukan SEA baru-baru ini amat berguna untuk menghadapi keadaan lebih mencabar di Uzbekistan dan yakin dengan komitmen dan semangat dimiliki pemain dapat membantu mencapai keputusan lebih baik.

Skuad Bawah B-23 berdepan tugas berat pada kempen Piala Asia B-23 apabila diundi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan Korea Selatan, naib juara edisi 2018 Vietnam dan Thailand. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast