Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Sebuah persatuan orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini mengalami kerugian RM100,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli kereta secara atas talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Elias Omar berkata, kejadian berlaku pada Mac lalu apabila mangsa yang juga seorang lelaki berusia 31 tahun bertugas sebagai sukarelawan di persatuan itu berhasrat membeli sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Voxy.

Jelas beliau, mangsa berurusan dengan individu yang didakwa berada di Pendang melalui aplikasi Facebook.

“Mangsa dikatakan percaya dengan janji manis suspek apabila melihat akaun FB terbabit yang menjual pelbagai jenis kereta import terpakai.

“Susulan itu, mangsa berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum dia diarahkan membuat pembayaran untuk membeli kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Elias, mangsa memasukan wang berjumlah RM100,000 secara berperingkat ke akaun bank yang diberikan suspek sejak bulan April hingga Mei baru-baru ini.

“Penipuan itu hanya disedari mangsa selepas suspek yang berjanji akan menyerahkan kereta itu kepadanya mendiamkan diri dan gagal dihubungi sehingga kini.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pendang pada Isnin lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan.Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat berkaitan dengan pembelian barangan yang diklankan melalui laman sosial sebelum membuat transaksi wang,” tegas beliau. – MalaysiaGazette