KUALA LUMPUR – Sebahagian besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori profesional (44.9 peratus) diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (17.7 peratus) dan pengurus (11.3 peratus) pada suku pertama tahun ini.

Mengikut susunan, lima pekerjaan paling popular yang ditawarkan dalam tempoh rujukan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit dan pembangun perisian.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jawatan kosong yang diiklankan pada suku pertama tahun ini melonjak kepada 159,148 (76.4 peratus) berbanding 49,372 pada tempoh sama tahun 2020.

Bagaimanapun, jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian bagi suku pertama 2022 menurun 16.4 peratus berbanding 190,436 pada suku keempat 2021.

Pada asas bulanan suku pertama 2022, bilangan jawatan kosong yang diiklankan dalam talian adalah tertinggi pada bulan Februari 2022 sebanyak 67,172 kekosongan.

Manakala bagi bulan Januari dan Mac, masing-masing berjumlah 48,924 dan 43,052 kekosongan.

Sementara itu daripada perspektif ekonomi pula, sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal menjadi sektor utama yang menyumbang kepada penawaran pekerjaan bagi pencari kerja pada suku pertama 2022.

Manakala empat lagi sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi adalah sektor pembuatan; aktiviti profesional, teknikal dan saintifik; aktiviti kewangan dan insurans/takaful serta aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.

”Tiga pekerjaan kategori pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencatatkan jumlah kekosongan tertinggi pada suku pertama 2022 adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran dan pembangun perisian.

”Manakala, profesional pengiklanan dan pemasaran, pengarah urusan dan ketua eksekutif serta akauntan dan juruaudit merupakan pekerjaan kategori Senarai Pekerjaan Kritikal (COL) tertinggi yang diiklankan dalam talian semasa tempoh rujukan.

”Sementara itu, pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pula adalah juruteknik, pereka grafik dan jurutera perisian,” tambahnya.

Tambahnya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan jumlah kekosongan pekerjaan tertinggi pada 42.7 peratus diikuti Selangor (16.9 peratus), Johor (7.3 peratus), Pulau Pinang (3.9 peratus) dan Melaka (1.7 peratus).

Mengulas lanjutnya, Mohd Uzir berkata, analisis terhadap jumlah kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku pertama 2022 secara keseluruhannya menunjukkan ekonomi masih dalam tempoh pemulihan selaras dengan peralihan fasa pandemik kepada endemik.

Dengan peralihan fasa ini, semua sektor ekonomi dan sempadan negara telah dibuka secara berperingkat dan ini diharapkan dapat mengurangkan impak pandemik, memulihkan ekonomi negara dan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh pencari kerja.

Keseluruhan analisis data raya ini menunjukkan peningkatan tawaran kekosongan jawatan diiklankan dalam talian bermula pada suku ketiga 2020, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast