Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad tidak mahu mempertahankan kerusi yang ditandinginya selama dua penggal lalu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau yang juga Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah) telah memaklumkan keputusan itu kepada pimpinan parti.

Katanya, cukup dua penggal beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen itu dan mahu memberi ruang kepada pemimpin muda untuk meneruskan kesinambungannya.

“Keputusan ini sudah dimaklumkan kepada pimpinan parti dan cukuplah dua penggal sebagai wakil rakyat di Parlimen dan 22 bulan sebagai menteri. Saya harap saya boleh lakukan lebih banyak lagi.

“Setakat ini, apa yang saya bimbang ia sudah selesai. Ia sudah pun berakhir.

“Dalam kes ini ia akan memberikan perubahan kepimpinan yang konsisten dan berterusan serta inilah yang hilang dalam politik Malaysia,” katanya dipetik The Malaysian Insight, semalam.

Menurut Dr. Dzulkefly, selepas ini beliau hanya akan berperanan kepada tanggungjawab yang lebih besar dan penting iaitu membentuk pemimpin muda di negara ini.

Beliau yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada Mei 2018 hingga Februari 2020 menang di Kuala Selangor pada PRU12 tahun 2008 atas tiket Pas dan PRU14 atas tiket Amanah. – MalaysiaGazette