Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi & Sesi Menandatangani Surat Niat antara Pusat GENIUS@Pintar Negara UKM dengan School for e-Education Research and Innovation, India (SERI) di Pusat GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2022.

BANGI – Sebanyak 25 peratus alumni Kolej Genius@Pintar Negara (KGPN) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka di luar negara sejak ia ditubuhkan, 11 tahun lalu.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata, selebihnya iaitu 75 peratus melanjutkan pengajian ke universiti awam khususnya UKM.

“Kejayaan kolej ini boleh dibuktikan dengan terhasilnya graduan-graduan yang menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah dalam usia yang muda.

“Antara universiti luar negara yang menempatkan pelajar kolej ini adalah John Hopkins University, Oxford University, University of Cambridge, Cornell University, Brown University serta beberapa universiti terkemuka dunia yang lain.

“Seramai 25 orang graduan KGPN juga telah berjaya menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan juga Matematik (STEM),” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Wakil School for e-Education Research and Innovation, India (SERI), Sharad Bhatia (kiri) bersama Pengarah Pusat GENIUS@Pintar Negara UKM, Prof. Madya Dr. Rorlinda Yusof (dua kanan) menurunkan tandatangan sambil diperhatikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim (kanan) dan Ketua Pegawai Akreditasi COGNIA, Dr. Rob Leveille (tengah) pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi & Sesi Menandatangani Surat Niat antara Pusat GENIUS@Pintar Negara UKM dengan School for e-Education Research and Innovation, India (SERI) di Pusat GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2022.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi dan Majlis Menandatangani Letter of Intent (LOI) antara Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM dan School for e-education Research & Innovation (SERI), India.

Kolej Genius@Pintar merupakan sebuah program di bawah Pusat Genius@Pintar Negara UKM atau dikenali sebagai PGPN UKM, yang ditadbir urus secara kerjasama antara UKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam pada itu, UKM dan KPM komited dalam menyediakan pendidikan pintar dan bakat terbaik kepada semua pelajar pintar dari seluruh Malaysia.

“Pelajar di sini merupakan aset berharga yang telah dikenal pasti melalui beberapa proses ujian saringan.

“Pelajar-pelajar ini diasah bakat dan didedah dengan pelbagai aktiviti dan program untuk mengembangkan potensi kepintaran mereka,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim (tengah) dan Ketua Pegawai Akreditasi COGNIA, Dr. Rob Leveille (kanan) bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi & Sesi Menandatangani Surat Niat antara Pusat GENIUS@Pintar Negara UKM dengan School for e-Education Research and Innovation, India (SERI) di Pusat GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2022.

Katanya, dengan akreditasi daripada COGNIA, masa hadapan pelajar berbakat negara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi khususnya ke universiti terkemuka dunia lebih terjamin.

“Diharapkan melalui LOI dan akreditasi ini, PGPN UKM akan mencapai kejayaan yang cemerlang dan diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah satu pusat pendidikan berbakat terbaik.

“Melalui kerjasama ini, PGPN UKM akan menjadi sumber utama pendidikan berbakat negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast