Ahmad Parveez Ghulam Kadir melakukan pertukaran memorandum perjanjian dengan Ketua Negara Earthworm Foundation, Quek Karl Yen.

 

KINABATANGAN – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Earthworm Foundation (EF) memeterai satu memorandum perjanjian untuk memperkasakan pekebun kecil persendirian dalam Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dari aspek pengurusan alam sekitar dan hidupan liar serta melaksanakan amalan pertanian baik (GAP) seperti digariskan dalam Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB mempunyai kepakaran dalam membantu memperkasakan pekebun kecil melalui insentif integrasi tanaman dan insentif integrasi ternakan dengan sawit, penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) dan khidmat nasihat sawit secara percuma kepada pekebun kecil persendirian.

Tambah beliau, EF atau sebelum ini dikenali sebagai The Forest Trust telah pun aktif di lapangan sejak 20 tahun lepas merentasi lima benua dalam membantu pihak kilang dan ladang mengeluarkan produk sawit yang mesra alam serta meningkatkan taraf hidup pekebun.

Sejak 2010, EF mula aktif di Malaysia dengan menyokong aktiviti kilang penapis, kilang sawit, ladang dan pekebun kecil sawit dalam usaha memperkasakan amalan mampan bagi memenuhi permintaan pasaran minyak sawit, kata beliau.

”Pemeteraian memorandum perjanjian pada hari ini merupakan antara usaha MPOB untuk melahirkan pekebun kecil berwawasan dan mempunyai daya saing yang tinggi. Memorandum perjanjian ini akan menjadi titik permulaan kepada kerjasama penting antara MPOB dan EF,” kata beliau di majlis pemeteraian perjanjian itu di Kinabatangan di sini, hari ini.

Ahmad Parveez berkata, pemeteraian perjanjian tersebut adalah antara usaha MPOB bagi meningkatkan kesedaran dan mengembangkan daya saing pekebun kecil serta meningkatkan keupayaan mereka menghasilkan minyak sawit lestari memandangkan pekebun kecil menyumbang 28% daripada pengeluaran minyak sawit negara.

Usaha sama antara MPOB dan EF akan menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak yang sekali gus akan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.

Kata beliau, skop kerjasama turut memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak dan seterusnya memanfaatkan industri sawit dan pelbagai sektor lain.

Sehingga 30 April 2022, MPOB telah membantu mempersijilkan seramai 167,549 orang pekebun kecil persendirian seluruh Malaysia (76.62%), manakala bagi negeri Sabah pula seramai 25,691 (81.31%) orang pekebun kecil telah pun dipersijilan dengan MSPO.

Di Kinabatangan, terdapat tiga SPOC (SPOC S19, S20 dan S21) yang merangkumi kawasan Bukit Garam, Batu Puteh dan Sukau.

Seramai 2,589 orang pekebun kecil dengan keluasan 15,993.6 hektar telah dipersijilkan MSPO di kawasan Kinabatangan. – MalaysiaGazette